POLIS menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki menghambur kata-kata kesat dan berbaur perkauman dalam satu kejadian di restoran makanan segera di Falim, dekat Ipoh, yang rakamannya ditularkan dalam laman Twitter sejak semalam.
Ketua Polis Ipoh, Yahaya Hassan, berkata lelaki berusia 42 tahun itu ditahan di Ampang Baru, kira-kira 11 malam tadi.
“Pihak polis mengesahkan telah menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada 14 Mei dan kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (berkelakuan aib),” katanya dalam kenyataan.
Yahaya berkata ujian saringan awal air kencing ke atas suspek mendapati suspek positif dadah jenis ganja dan pihak polis sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum merujuk timbalan pendakwa raya untuk cadangan pertuduhan.
Katanya, dengan tertangkapnya suspek, kes tersebut dianggap selesai dan orang ramai dinasihat tidak membuat sebarang spekulasi mengenai video itu sehingga menjejaskan siasatan dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Sejak semalam video yang ditularkan pengguna ‘nan manjoi8715’ dalam laman Twitternya diciap semula pengguna lain menyebabkannya menarik perhatian umum.
Video berdurasi satu minit 18 saat itu memaparkan seorang lelaki dipercayai penghantar makanan sebuah syarikat kurier menghambur kata-kata kesat dan berbaur perkauman kepada seorang kakitangan restoran.
Leave a Reply