MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, rayuan terhadap keputusan mahkamah bagi kes kalimah Allah tidak diteruskan kerana keputusan kes itu berdasarkan percanggahan di antara arahan pentadbiran Kementerian Dalam Negeri 1986 dan keputusan Jemaah Menteri tahun sama.
Beliau mengingatkan semua pihak bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika itu berkaitan rampasan bahan penerbitan, bukan dari sudut ketuhanan.
“Keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan permohonan rayuan tersebut dibuat mengikut ‘case-by-case basis’, tanpa menjejaskan fakta bagi setiap satu kes yang sedang dalam tindakan mahkamah.
“Kenyataan ini menjelaskan niat kerajaan untuk tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan mahkamah mengenai hak seorang penganut Kristian dari Sarawak menggunakan kalimah Allah bagi tujuan pembelajaran agamanya,” katanya lapor FMT.
Jabatan Peguam Negara yang mewakili Kementerian Dalam Negeri memaklumkan keputusan itu kepada Mahkamah Rayuan pada 18 April lepas.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021 memutuskan bahawa Jill Ireland boleh menggunakan kalimah Allah dalam pembelajaran agamanya.
Hakim ketika itu, Nor Bee Ariffin berkata, arahan KDN pada 5 Disember 1986 yang melarang penggunaan kalimah Allah, Baitullah, solat dan Kaabah sebagai tidak konsisten dengan keputusan dasar Jemaah Menteri tahun sama.
Leave a Reply