MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar menasihatkan orang ramai bertenang dan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berhubung isu kalimah Allah.
Jelas beliau, ini kerana perkara berkenaan melibatkan isu teknikal perundangan.
“Semua pihak juga perlu mengelak daripada terpengaruh dengan sentimen tidak berasas bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian beragama.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberi jaminan akan sentiasa bekerjasama dengan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam melindungi dan memelihara dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa berhubung isu penggunaan kalimah Allah dan lain-lain kalimah suci dalam agama Islam,” katanya memetik laporan FMT.
Terdahulu Perdana Menteri, DatuK Seri Anwar Ibrahim berkata, penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di Sarawak dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran, hanya terpakai untuk Sarawak.
Penjelasan itu menyusuli keputusan kerajaan baru-baru ini untuk tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang pada 2021 memutuskan bahawa seorang penganut Kristian dari Sarawak, Jill Ireland, boleh menggunakan menggunakan kalimah Allah dalam pembelajaran agamanya.
Hakim ketika itu, Nor Bee Ariffin berkata, arahan KDN pada 5 Disember 1986 yang melarang penggunaan kalimah Allah, Baitullah, solat dan Kaabah sebagai tidak konsisten dengan keputusan dasar Jemaah Menteri tahun sama.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution mengingatkan semua pihak bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika itu berkaitan rampasan bahan penerbitan, bukan dari sudut ketuhanan.
Katanya lagi, KDN akan mengkaji dan mengemaskini arahan yang lebih menyeluruh bagi menangani isu penggunaan kalimah tersebut agar selari dengan kepentingan dan kemaslahatan masyarakat berbilang kaum dan agama.
Sementara itu Mohd. Na’im yakin KDN akan meningkatkan pemantauan dan bertindak tegas terhadap sebarang bentuk pelanggaran pengembangan doktrin atau kepercayaan agama lain dalam kalangan orang Islam selaras dengan Perlembagaan.
Leave a Reply