EMPAT sekeluarga maut manakala seorang lagi parah, apabila kereta yang mereka naiki dipercayai melanggar belakang sebuah lori tanah sebelum terbakar di Kilometer 310.2 Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan, awal pagi ini.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Azriyani Abdul Latif, 45 tahun, dan tiga anaknya, Muhammad Azib Nasaruddin, 23 tahun, Siti Nur Aminah, 8 tahun, dan Ahmad Uwais Qorni, 5 tahun.
Sementara mangsa yang parah ialah seorang lagi anaknya, dikenali sebagai Muhammad Fawwaz, 7 tahun.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (JBPM) Perak Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 2.06 pagi.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Saga yang melanggar bahagian belakang lori muatan tanah jenis Volvo dan terbakar di bahagian bonet.
“Terdapat dua mangsa yang tersepit dan kebakaran dipadamkan oleh orang awam menggunakan alat pemadam api.
“Mangsa yang terlibat adalah enam orang. Empat disahkan maut oleh pegawai Kementerian Kesihatan manakala seorang dibawa ke Hospital Tapah oleh anggota EMRS Gopeng.
“Terdapat mangsa yang maut telah melecur di bahagian anggota badan,” katanya dalam kenyataan di Kampar hari ini.
Menurutnya lagi, anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat dan menyerahkannya kepada pihak polis dan ambulans.
Katanya, mangsa yang maut dibawa ke Hospital Kampar untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Nadzri Che Nordin itu tamat jam 4.25 pagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar Suptritenden Mohamad Nazri Daud berkata, siasatan awal mendapati, kereta tersebut dipandu Muhammad Azib dari arah Ipoh ke Kuala Lumpur.
Menurutnya, apabila sampai ditempat kejadian kereta berkenaan telah melanggar bahagian belakang lori di lorong sebelah kiri.
‘Bedah siasat akan dilakukan di Hospital Kampar pagi ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lapor Astro Awani.
Leave a Reply