KERAJAAN sedia mengaktifkan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20 termasuk mengisytiharkan darurat sekiranya keadaan gelombang haba akibat Fenomena El-Nino semakin membimbangkan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagaimanapun buat masa ini kerajaan tidak bercadang berbuat demikian, lapor Berita Harian.
“Darurat? Belum lagi tetapi kita sudah bersedia. Kita gunakan arahan No. 20 MKN sebagai melaksana langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini.
“Kita pakai arahan No. 20…kita sedang pantau 24 jam kalau ada darurat kita akan buat pengumuman. Buat masa ini belum lagi,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata demikian sama ada kerajaan akan mengisytiharkan perintah Darurat berikutan gelombang haba yang melanda negara ketika ini.
Berdasarkan Perkara 25 Arahan MKN No. 20, Pengisytiharan Darurat Bencana, apabila perlu, dibuat secara peraturan pentadbiran dan eksekutif oleh Perdana Menteri atas syor JPBP, tertakluk kepada undang-undang dan tatacara kerajaan yang sedang berkuatkuasa.
Apabila diisytiharkan sebagai Darurat Bencana, pengurusan Bencana serta bantuan dan pemulihan kepada mangsa bencana akan dikendali dan dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan mengikut kementerian atau jabatan berkaitan.
Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan darurat iklim sebelum ini menggesa kerajaan mengkategorikan gelombang haba sebagai darurat bencana.
Gabungan itu berkata, kerajaan perlu segera memperkenalkan langkah segera bagi menangani impak akibat cuaca panas melampau untuk menjamin keselamatan rakyat dan melindungi golongan berisiko.
Menurut mereka, kematian yang berlaku di Kelantan baru-baru ini akibat strok haba menunjukkan betapa gentingnya situasi yang sedang dihadapi.
Leave a Reply