AZRIYANI Abdul Latif, 45, yang maut bersama empat anak dalam nahas di Kilometer 310.2 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, dekat Kampar, awal pagi tadi, dalam perjalanan pulang ke kampung di Tapah untuk membawa bapanya ke hospital.
Menurut anaknya, Ahmad Danish Basyir Nasaruddin, 16, ibu bersama empat adik beradiknya bertolak dari rumah mereka di Kuala Kangsar lewat malam tadi ke rumah kampung di Tapah Road kerana datuknya perlu menjalani pemeriksaan kesihatan, dijadualkan pagi ini.
Menurut anak keempat daripada lapan beradik itu, dia diberitahu mengenai kejadian menimpa ibu, abang dan tiga adiknya itu oleh kakak saudara, kira-kira pukul 7.30 pagi tadi ketika berada di sekolahnya, Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh.
Ketika ditemui pemberita di luar Unit Forensik, Hospital Kampar, di Kampar hari ini, Ahmad Danish Basyir berkata, dia pada mulanya tidak percaya dengan apa yang diberitahu oleh kakak saudaranya itu.
“Waktu itu saya tak percaya, takut dia main-main, tapi selepas cikgu panggil saya, maka saya percaya dan terus datang sini (hospital). Saya diberitahu, emak dan lain-lain ke Tapah sebab nak bawa datuk jalani pemeriksaan di hospital yang sepatutnya pagi ini,” katanya.
Nahas pukul 2.27 pagi tadi itu turut mengorbankan anak sulung Azriyani, Muhammad Azib, 23; anak keenam, Siti Nur Aminah, 8; anak ketujuh, Muhammad Fawwaz, 7, dan anak bongsu, Ahmad Uwais Al Qorni, 5.
Proton Saga dinaiki keluarga itu dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar belakang lori membawa muatan pasir, menyebabkan Ahmad Uwais Qorni, Siti Nur Aminah, Muhammad Azib dan Azriyani maut di tempat kejadian, manakala Muhammad Fawwaz meninggal dunia di Hospital Tapah.
Ahmad Danish Basyir berkata, dia terlalu rapat dengan Ahmad Uwais Al Qorni dan kali terakhir mereka berkumpul sekeluarga ialah ketika cuti perayaan Aididilfitri lalu sebelum pulang ke asrama sekolahnya.
“Adik bongsu amat rapat dengan saya, dia manja dan kami kerap tidur satu bilik. Ketika hantar saya ke asrama, emak pesan agar pandai jaga diri ketika di asrama, belajar rajin-rajin, jangan buat masalah,” katanya.
Sementara itu, sepupu Azriyani, Nur Haniza Abdul Hamid, 36, Azriyani menjemputnya datang ke rumah di Taman Bunga Raya, Kuala Kangsar, melalui aplikasi WhatsApp semalam.
“Semalam kali terakhir saya berhubung dengan arwah melalui WhatsApp, dia jemput semua datang ke rumahnya sempena Syawal yang masih berbaki. Kali ini, semua akan datang rumahnya (untuk majlis pengkebumian),” katanya, lapor Berita Harian.
Menurut Nur Haniza, lima beranak itu dijangka dikebumikan di Kampung Paya Panjang, Padang Rengas.
Leave a Reply