Titi Hayun, Sungai Seri Perigi di Yan dilanda kepala air

Oleh BADLISHAH MAT

KIRA-kira 30 buah keluarga yang tinggal di sepanjang Sungai Titi Hayun dan Sungai Seri Perigi di Yan gusar apabila kejadian kepala air berlaku di kaki Gunung Jerai, petang ini.

Namun, limpahan air sejak pukul 6.40 petang itu setakat ini tidak memasuki rumah mereka.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Yan, Penolong Penguasa Bomba Norhamidi Ali berkata, hujan lebat di puncak gunung dipercayai bermula kira-kira pukul 6 petang sebelum berlarutan hampir sejam kemudian.

“Pemantauan yang dilakukan sebaik hujan lebat mendapati paras kedua-dua air sungai melebihi paras biasa dan segera mengarahkan penduduk mengambil langkah keselamatan.

“Walaupun arus deras hingga menyebabkan air melimpah memenuhi jalan di kawasan berkenaan, namun sehingga kini tiada rumah penduduk yang dimasuki air,” katanya.

Kata Norhamidi, selain pihak bomba, pelbagai agensi lain turut membuat pemantauan dan sehingga pukul 8.15 malam ini, keadaan masih terkawal dan tiada penduduk dipindahkan.

“Kami bersama agensi lain masih memantau keadaan berdasarkan keadaan hujan yang dijangka berlaku malam ini dan menasihatkan penduduk supaya lebih peka dengan
keadaan semasa,” katanya.

Dalam kejadian kepala air di Gunung Jerai pada 18 Ogos 2021, enam mangsa terkorban manakala 1,732 rumah, 124 premis dan 14 chalet pelancongan desa turut terjejas akibat fenomena alam itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *