Tiga kes strok haba dicatatkan di Sabah

SABAH mencatat tiga kes strok haba berikutan cuaca panas yang melanda ketika ini, membabitkan murid dan pelajar sekolah selain orang awam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr. Rose Nani Mudin berkata, kes terbabit dilaporkan antara 15 April lalu sehingga Jumaat lalu.

Katanya, kes pertama adalah seorang pelajar lelaki berumur 18 tahun yang dimasukkan ke wad pada 15 April lalu dan dibenarkan balik pada 18 April.

“Bagi kes kedua, pesakit adalah seorang murid lelaki berumur sembilan tahun yang dimasukkan ke wad pada 30 April lalu dan dibenarkan keluar pada 2 Mei.

“Kes ketiga pula ialah seorang wanita berumur 27 tahun yang bekerja sendiri dan menerima rawatan sebagai pesakit luar pada 29 April lalu.

“Ketiga-tiga pesakit sudah selesai mendapatkan rawatan dan sembuh sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, di Kota KInabalu, lapor BH Online.

Katanya, cuaca panas yang melampau boleh menyebabkan seseorang individu kerap berpeluh dan menyebabkan cecair dalam badan berkurangan.

Antara gejala penyakit berkaitan cuaca panas, katanya ialah badan terasa kering dan panas, denyutan jantung menjadi cepat, pening dan mual selain boleh mengakibatkan sawan ataupun pengsan.

“Kanak-kanak dan warga tua adalah golongan yang paling berisiko mendapat masalah kesihatan akibat cuaca panas,” katanya.

Berikutan itu, katanya JKNS menyarankan beberapa langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan penyakit berkaitan cuaca panas.

Antara langkah itu, katanya ialah menangguh atau mengehadkan aktiviti lasak seperti berkayak, berbasikal, marathon, mendaki gunung dan aktiviti luar yang lain.

“Memendekkan tempoh aktiviti di luar rumah seperti berkebun atau membersihkan laman rumah ataupun berehat secara berkala dan minum air kosong yang banyak setiap kali waktu rehat ketika melakukan aktiviti,” katanya.

Selain itu, Dr. Rose Nani berkata, orang ramai juga disaran meminum air yang dimasak dengan secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi.

Katanya, orang ramai juga digalakkan untuk memakai pakaian yang ringan, cerah dan longgar bagi mengelak pemerangkapan haba selain mengelakkan memakai pakaian warna gelap, tebal dan ketat.

“Orang ramai juga disaran memakai topi atau payung untuk melindungi diri daripada pancaran haba terus ke badan selain tidak duduk dalam kenderaan yang bertutup tanpa pendingin hawa,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Rose Nani meminta orang ramai mendapatkan rawatan segera jika mengalami tanda-tanda awal kelesuan dan strok haba.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *