Oleh RIZQI ZABIDI
TINDAKAN sekumpulan warga asing yang membawa dadah jenis ganja bergerak pada awal pagi, gagal membantu mereka untuk mengelak daripada dicekup pihak berkuasa dalam sebuah kebun getah di Kuala Nerang, Kedah pada 10 Mei lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superitenden Mulkiaman Manzar, kesemua warga asing tersebut terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita berusia antara 19 hingga 48 tahun, ditahan bersama 10 kilogram ganja dalam kereta jenis Perodua Kembara dinaiki mereka.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota pada mulanya terserempak dengan kereta tersebut yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di Jalan Padang Setul.
“Kereta itu kemudiannya diekori hingga mereka berhenti dalam sebuah kebun getah di Kampung Padang Setul. Sebaik kereta itu berhenti, pihak polis kemudiannya menunjukkan kad kuasa dan menjalankan pemeriksaan.
“Secara keseluruhannya terdapat empat lelaki dalam kenderaan itu termasuk pemandu. Selain itu, Perodua Kembara tersebut turut dinaiki dua lelaki Thailand dan dua wanita Myanmar.
“Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemukan sebuah beg galas dan satu guni. Beg galas dan guni itu masing-masing berisi lima ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja dengan berat keseluruhan kira-kira 10 kilogram,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mulkiaman memaklumkan, mereka yang ditahan serta barang larangan dirampas termasuk kenderaan tersebu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap untuk siasatan lanjut.
“Siasatan dijalankan mendapati empat warga asing tersebut tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah manakala empat yang lain, memiliki passport tetapi tiada cop rasmi dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk memasuki negara ini,” katanya.
Katanya, kes itu kini masih disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15(1) ADB 1952 serta Akta Imigresen.
“Mereka yang ditahan kini masih berada tempoh tahanan reman sejak 10 Mei lalu hingga 17 Mei 2023,” katanya.
Leave a Reply