DAP sedang ‘bunuh’ UMNO secara lembut

KERJASAMA UMNO dengan DAP menyebabkan UMNO semakin hilang keabsahan politiknya di mata orang Melayu, termasuk penyokong-penyokong akar umbi parti itu sendiri. 

Bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Ke-8, Datuk Dr. Marzuki Mohamad mendakwa, tanpa sokongan asas orang Melayu, UMNO hilang keabsahan politiknya dan hilang nilainya dalam politik Malaysia.

“Tanpa disedari, DAP sedang membunuh UMNO secara lembut. (DAP is killing UMNO softly),” katanya dalam kenyataan terbaharu disiarkan di Facebooknya pada Isnin.

Berikut kenyataan penuh Dr. Marzuki.

KEABSAHAN UMNO

Ada dua faktor utama yang menentukan sokongan pengundi Melayu kepada parti-parti politik. Pertamanya keabsahan kaum (race legitimacy) dan keduanya keabsahan prestasi (performance legitimacy).

Keabsahan kaum ini ada pada parti-parti politik Melayu/Islam seperti UMNO, PAS dan BERSATU. Parti pelbagai kaum seperti PKR kurang memiliki keabsahan kaum bagi orang Melayu. Kerana itu sokongan kaum Melayu kepada PKR rendah.

Manakala keabsahan prestasi pula bergantung kepada prestasi parti memacu kemajuan negara, meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat, prihatin membela nasib mereka, menangani masalah kos sara hidup dan menyampaikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan. Keabsahan prestasi teruji apabila parti berkenaan menjadi parti kerajaan.

UMNO memiliki kedua-kedua keabsahan ini di zaman kegemilangannya. Serba sedikit kekurangannya dalam soal rasuah dan kekangan terhadap hak kebebasan rakyat diimbangi dengan keupayaan parti itu untuk menonjolkan keabsahan kaum dan prestasi. Kerana itu UMNO mendapat dokongan kuat orang Melayu.

Malah sebahagian kaum bukan Melayu juga bertolak ansur dengan citra politik Melayu UMNO kerana keupayaan parti itu menyampaikan manfaat kemajuan dan pembangunan kepada rakyat, termasuk kaum bukan Melayu. Ini disebut sebagai politik kepembangunan (developmentalism politics) yang mengagungkan nilai pembangunan melebihi perkara-perkara lain.

Dengan dokongan kuat orang Melayu dan sokongan sebahagian orang bukan Melayu, UMNO/BN berjaya mendapat kemenangan majoriti dua pertiga dalam setiap pilihanraya dan membentuk sebuah kerajaan yang stabil.

Namun, dalam pilihanraya umum ke 12 dan seterusnya, pencapaian UMNO mula merosot. UMNO/BN hilang majoriti 2/3 dalam PRU 12, hilang undi popular dalam PRU 13, tewas dalam PRU 14 dan menang hanya 26 kerusi dalam PRU 15, iaitu prestasi terburuk UMNO dalam sejarah.

Kenapa?

Kerana UMNO telah mula hilang keabsahan kaum dan keabsahan prestasinya.

Proses kehakisan keabsahan kaum UMNO bermula sejak sekian lama. Ia bukan baharu berlaku semalam.

Setelah DEB berakhir pada tahun 1990 dan dasar liberalisasi dilaksanakan dalam sektor ekonomi, sosial, budaya, pendidikan dan lain-lain, orang Melayu sedikit demi sedikit mula kehilangan nikmat ‘kedudukan istimewa’ yang mereka kecapi dahulu.

Saya ambil contoh dalam bidang pendidikan. Anak-anak orang Melayu tidak lagi secara automatik mendapat biasiswa atau pinjaman boleh ubah daripada kerajaan apabila memasuki universiti. Nak masuk universiti kena bayar yuran sendiri atau berhutang dengan PTPTN.

Malah, pasca DEB, kemasukan ke universiti-universiti awam juga beransur-ansur menggunakan dasar meritokrasi. Pelajar-pelajar Melayu mesti bersaing untuk memasuki fakulti perubatan, undang-undang, kejuruteraan, ekonomi dan lain-lain. Ada anak Melayu yang dapat ‘straight A’ pun tidak berjaya masuk fakulti perubatan di universiti awam kerana persaingan yang sengit.

Jika tidak kerana UiTM, UIA dan USIM menawarkan pengajian dalam bidang-bidang profesional, saya percaya jumlah pelajar Melayu dalam bidang-bidang ini akan jauh lebih rendah berbanding pelajar bukan Melayu.

Peniaga dan usahawan Melayu juga tidak lagi menikmati pelbagai keistimewaan zaman DEB. Mereka perlu bersaing dengan pesaing dari dalam dan luar negara akibat kesan globalisasi dan perubahan dasar negara ke arah liberalisasi ekonomi.

Dari segi pekerjaan, orang Melayu mesti bersaing dalam sektor swasta untuk mendapatkan pekerjaan. Tiada jaminan untuk mereka bekerja dalam sektor awam. Dasar rasionalisasi sektor awam pula membuatkan peluang pekerjaan dalam sektor awam semakin terhad dengan pendapatan yang lebih rendah berbanding sektor swasta.

Orang Melayu tiada pilihan selain bersaing dalam sektor swasta untuk menikmati taraf hidup yang lebih baik. Tiada kuota untuk mereka dalam sektor ini. Malah ada kajian ilmiah yang dibuat sebelum ini yang mendapati pencari pekerjaan dalam kalangan orang Melayu berhadapan dengan amalan diskriminasi dalam sektor swasta.

Ketika inilah UMNO mulai tidak dilihat sebagai pelindung orang Melayu (the Malay protector). Walaupun UMNO menjadi kerajaan, semakin ramai orang Melayu yang tidak lagi bergantung kepada UMNO untuk hidup. Mereka mesti berdikari dan bersaing untuk berjaya.

Lebih memburukkan keadaan, skandal 1MDB memperlihatkan bagaimana kekayaan negara diseleweng oleh segelintir elit UMNO. Ini antara faktor yang menyebabkan keabsahan prestasi dan keabsahan kaum UMNO semakin terhakis.

Akhirnya, UMNO/BN tewas dalam PRU-14 setelah lebih enam dekad memerintah negara.

Dalam PRU-14, masih terdapat sekitar 50% orang Melayu yang menyokong Umno. Dalam PRU 15, sokongan orang Melayu kepada Umno turun ke sekitar 30% sahaja. Selepas UMNO bekerjasama dengan DAP pasca PRU 15, sokongan orang Melayu kepada UMNO dianggarkan berkurang separuh lagi.

Dalam satu kajian terbaharu yang saya lihat, orang Melayu yang masih menyokong UMNO memberikan sebab “nostalgia”. Mereka menyokong UMNO kerana masih mengenangkan jasa UMNO pada masa lampau. Itu sahaja. Yang tidak menyokong pula marah kepada UMNO kerana membelakangi resolusi parti untuk tidak bekerjasama dengan Anwar dan DAP. “NO ANWAR, NO DAP” masih terngiang-ngiang dalam benak kepala mereka.

Kerjasama UMNO dengan DAP di dalam PH menghakis saki-baki keabsahan kaum yang masih ada pada UMNO. Sementara keabsahan prestasinya pula telah lama tiada.

Keabsahan UMNO dan sokongan orang Melayu kepada parti itu akan teruji dalam PRN di 6 negeri nanti. Berdasarkan beberapa penelitian awal, dijangkakan UMNO akan kehilangan lebih separuh sokongan penyokong-penyokongnya dalam PRN akan datang. Apa lagi jika UMNO bertanding dalam satu pasukan dengan DAP dalam PRN nanti. Separuh daripada sokongan yang berbaki itu pun berkemungkinan akan hilang.

Apabila Anthony Loke membuat kenyataan yang dia berharap UMNO akan menang besar dalam PRN akan datang, bagi saya itu isyarat kepada penyokong-penyokong DAP supaya menyokong UMNO. Ini kerana dia tahu UMNO tidak lagi mendapat sokongan orang Melayu seperti dulu. Dia bimbang jika UMNO kalah, PH juga akan kalah.

Akhirnya UMNO akan bergantung kepada sokongan DAP untuk menang pilihanraya. Akan sampai satu masa, UMNO akan minta bertanding di kawasan-kawasan yang ramai penyokong DAP. Sama lah seperti di zaman kegemilangan UMNO dahulu, MCA dan MIC bergantung kepada sokongan UMNO untuk menang pilihanraya.

Tanpa disedari, DAP sedang membunuh UMNO secara lembut. DAP is killing UMNO softly. Kerjasama UMNO dengan DAP menyebabkan UMNO semakin hilang keabsahan politiknya di mata orang Melayu, termasuk penyokong-penyokong akar umbi UMNO sendiri. Tanpa sokongan asas orang Melayu, UMNO hilang keabsahan politiknya dan hilang nilainya dalam politik Malaysia.

Tidak dinafikan UMNO sebuah parti yang banyak berjasa kepada orang Melayu. Tetapi perubahan sosial, politik dan ekonomi yang berlaku sejak beberapa dekad yang lalu serta jajaran baharu yang dibuat oleh parti itu dalam mengejar kuasa politik menyebabkan keabsahannya semakin terhakis.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *