Oleh RIZQI ZABIDI
KEMENANGAN besar dicapai Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, mampu menghadirkan isyarat bahawa rakyat tidak lagi mahu dipimpin oleh kerajaan diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu akan dibuktikan apabila tiba masanya nanti.
Malah katanya, kerajaan sedia ada insya Allah akan tumbang apabila PN mengambil alih kesemua enam negeri yang bakal menghadapi PRN.
“Kita tahu kali ini, kita akan buktikan dalam kemenangan PRN kali ini. Kalau kita menang besar, ia akan menyebabkan mereka tahu bahawa rakyat tak mahu lagi kerajaan yang ada hari ini.
“Mereka tak mahu kerajaan Malaysia dipimpin oleh ‘Tok Non’ ini. Insya Allah kerajaan ini akan jatuh apabila kita dapat mengambil semua enam negeri dalam PRN akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Himpunan Jentera Pilihan Raya PN di Guar Chempedak di Yan malam tadi.
Mengulas lanjut katanya, gabungan tersebut tidak berhasrat untuk mencari kesalahan orang lain sekiranya PN mengambil alih kerajaan sedia ada satu masa nanti.
“Yang lebih penting buat kita adalah mencari pemimpin untuk mengatur Kabinet menjadi lebih baik supaya segala yang dilakukan adalah sesuatu yang benar-benar bertanggungjawab demi masa depan agama, bangsa dan negara.
“Jangan sekali-kali kita ikut perangai orang macam ini. Kalau kita ambil alih kerajaan sedia ada, jangan cari masalah orang sebaliknya tengok masa depan serta cari perkara lebih baik di depan kita,” katanya.
Dalam pada itu Hamzah berkata, tindakan mengaitkan namanya dengan pertuduhan kes rasuah di mahkamah baru-baru ini, dilakukan oleh mereka yang berniat ‘busuk’.
Sambil mempersoalkan mengapa beliau dituduh bersubahat dengan individu berkenaan, Hamzah turut mendakwa kerajaan telah bersifat zalim dalam hal itu.
Katanya, beliau tidak tahu mengapa namanya dikaitkan dengan kes tersebut sedangkan beliau langsung tidak mengambil duit individu berkenaan walaupun satu sen.
“Selepas raya, individu ini ‘depa’ (SPRM) ‘charge’ (tuduh). Selepas itu pada hari sama, barulah SPRM ‘mai’ pejabat saya untuk temubual dan rakam sesuatu yang mereka mahu dari saya.
“Saya beritahu yang saya tak tahu pun mereka (tertuduh) ini buat kerja apa. Saya tak tahu dan kalau mereka nak tuduh, itu ‘depa’ punya pasal.
“Satu sen pun saya tak ambil dari individu ini, kenapa nak kait dengan nama saya? Inilah dia kerajaan zalim, kerja mereka yang berniat busuk,” katanya.
Leave a Reply