SEPERTI dijangka, perhimpunan aman bagi membantah projek tambak laut perairan selatan Pulau Pinang (PSI) yang diadakan di Teluk Kumbar, Pulau Pinang hari ini mendapat sambutan luar biasa pelbagai pihak.
Selain komuniti nelayan dari seluruh Pulau Pinang dan penduduk setempat, perhimpunan aman dikenali Bantah Projek Tiga Pulau yang digerakkan Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (PenMutiara) itu turut disertai wakil pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin parti politik.
Antara NGO terlibat termasuk Penang Forum; Sahabat Alam Malaysia (SAM); Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (Lekas) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
Selain itu, pemimpin parti politik yang turut serta terdiri daripada Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan); Pas; Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan ramai lagi.
Bagaimanapun, tiada kelibat mana-mana pemimpin politik daripada gabungan Kerajaan Perpaduan yang menyertai perhimpunan aman itu termasuk pemimpin UMNO atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) meskipun Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sebelum ini turut membuat kenyataan membantah projek tersebut.
Perhimpunan aman yang bermula kira-kira pukul 10.30 pagi dan berakhir kira-kira sejam kemudian itu juga berlangsung tanpa sebarang insiden tidak diingini dan dikawal rapi anggota polis.
Dalam pada itu, Pengerusi PenMutiara, Ibrahim Che Ros berkata, pihaknya akan terus menyatakan bantahan terhadap projek tambak laut tersebut sehingga Kerajaan Negeri Pulau Pinang membatalkan projek terbabit serta projek-projek tambak laut yang sedang dirancang di negeri itu.
Malah, ujar beliau, pihaknya juga merancang mengadakan perhimpunan aman di bangunan Parlimen dalam masa terdekat sekali gus menyerahkan memorandum kedua bantahan projek terbabit kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Selain itu, kami juga merancang menyerahkan memorandum bantahan projek ini kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memohon baginda melihat nasib nelayan di Pulau Pinang yang bakal terjejas dengan projek ini,” katanya ketika berucap pada perhimpunan aman tersebut.
Dalam pada itu, Ibrahim, turut mencabar Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sama-sama turun ke laut bersama nelayan di perairan selatan Pulau Pinang bagi melihat sendiri kekayaan sumber laut kawasan itu yang dipenuhi pelbagai spesis ikan dan udang.
Dalam pada itu, beliau turut menafikan dakwaan kononnya terdapat ahli-ahli PenMutiara yang dipaksa menyertai himpunan aman terbabit memandangkan semua nelayan berdaftar bergerak seiring dengan peraturan PenMutiara.
”Kami berpegang kepada Peraturan 27 (1) Persatuan Nelayan Akta Persatuan Nelayan 1972 yang mana ahli (nelayan) tidak boleh membuat sebarang perlakuan yang memudaratkan persatuan dan seorang ahli itu perlu bergerak seiring dengan tujuan-tujuan persatuan,” katanya.
Projek tambak laut PSI kini dikurangkan daripada tiga pulau kepada hanya satu pulau sahaja iaitu pengurangan dari 1,821 hektar (4,500 ekar) tambakan laut kepada hanya 930 hektar (2,300 ekar).
Bagaimanapun, komuniti nelayan khususnya di kawasan Teluk Kumbar yang terjejas secara langsung dengan projek tambakan itu dan beberapa NGO mendesak Kerajaan Negeri Pulau Pinang membatalkan terus projek itu, bukannya mengecilkan saiz tambakan.
Malah, mereka mendakwa, Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini tidak lagi mempunyai apa-apa justifikasi atau alasan untuk meneruskan projek terbabit selepas Kerajaan Pusat akan menyediakan dana dalam jumlah besar bagi membiayai projek transit aliran ringan (LRT) di negeri itu.
Projek tambak laut PSI itu pada mulanya dirancang melibatkan tambakan kawasan laut seluas 1,821 hektar bagi membina tiga buah pulau buatan yang kemudiannya akan dijual Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mendapatkan modal bagi menjalankan projek di bawah Pelan Induk Pembangunan (PIP) yang termasuk pembinaan LRT.
Leave a Reply