Pemaju boleh mohon laksana projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

TIMBALAN Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, pemaju hartanah swasta boleh membuat permohonan untuk projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM).

Menurut Ahli Parlimen Johor Bahru itu, ini bagi menjadikan PPAM sebagai sebahagian daripada kediaman jualan mereka.

“Permohonan dan pertanyaan berhubung perkara ini boleh dibawa ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menyelia projek tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat PPAM Pangsapuri Seri Permata di Johor Bahru, semalam.

Turut hadir Pengarah TH Tebrau Land, Syamin Ibrahim, Pengerusinya, Peh Lian Hua dan Pengarah Urusannya, Lim Cheng Chun.

Dalam perkembangan sama, Akmal Nasrullah memuji inisiatif pemaju perumahan TH Tebrau Land yang menjadikan sebanyak 692 unit daripada keseluruhan 1,388 unit buat kakitangan kerajaan dan keluarganya.

Langkah tersebut katanya, boleh dilaksana pemaju lain pada masa depan sebagai satu tanggungjawab sosial korporat mereka.

“Tindakan ini juga dapat mewujudkan satu komuniti masyarakat majmuk dimana ia terdiri daripada orang awam dan juga kakitangan kerajaan, jadi kediaman ini nanti bukan melibatkan satu segmen masyarakat sahaja,” katanya.

Sementara itu, Syamim memberitahu, unit kediaman PPAM di pangsapuri itu dijual bermula pada harga RM289,000 untuk satu lot letak kenderaan manakala RM309,000 untuk dua lot letak kenderaan.

Katanya, projek berkenaan melibatkan tiga blok bangunan setinggi 49 tingkat dengan 50 peratus daripadanya adalah unit kediaman PPAM yang berukuran 975 kaki persegi dengan tiga bilik dan dua bilik air.

“Langkah ini dibuat sebagai menyahut seruan kerajaan supaya setiap rakyat termasuk kakitangan kerajaan memiliki rumah kediaman selari

dengan konsep ‘Satu Keluarga Satu Rumah’.

“Tawaran unit kediaman PPAM ini adalah 35 peratus lebih rendah berbanding unit bukan PPAM bertujuan untuk membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah kediaman selesa di tengah bandar raya Johor Bahru,” jelasnya.

Syamin berkata, unit kediaman bukan PPAM ditawarkan bermula pada harga RM380,000 hingga RM463,000.

Menurutnya, projek tersebut kini mencapai tahap 55 peratus kemajuan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang suku pertama 2025.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *