Noraini mahu kerjasama dalam kerajaan perpaduan berterusan sampai bila-bila

KETUA Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad berharap kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan perpaduan dapat diteruskan sampai bila-bila.

Katanya, biarpun berpuluh tahun menjadi seteru politik, namun itu tidak dapat menafikan bahawa wanita DAP, UMNO, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) dapat duduk semeja menjayakan konvensyen kerajaan perpaduan hari ini.

“Siapa sangka saya boleh duduk bersama Wanita Amanah, Aiman Athirah Sabu, kerja dan bincang dengan Wanita DAP, Chong Eng. Ini satu perkara yang kita telah mulakan dan teruskan sampai bila-bila.

“Dengan gabungan besar yang sarat dengan pengalaman potensi yang ada ini tidak boleh disia-siakan,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen Wanita di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Dalam pada itu, Noraini berkata, waktu ini bukan masa sesuai untuk mencari silap atau mengungkit kisah silam.

Katanya, semua pihak perlu fokus menjadikan konvensyen yang berlangsung sebagai titik mula pada sebuah agenda yang lebih besar.

Tambahnya, gabungan antara parti seteru sebelum ini bukan perkara yang baharu.

“Sejarah membuktikan banyak negara pernah membentuk kerajaan seumpama kerajaan perpaduan sebelum ini.

“Penubuhan kerajaan perpaduan, kita semua sambut dengan hati yang terbuka agar kestabilan politik yang mampu memberikan suntikan keyakinan pelabur luar dan dalam negara,” katanya.

Sementara itu, Noraini berkata, cabaran utama kerajaan perpaduan kini adalah menghadapi PRN di enam negeri.

“Tugas dan tanggungjawab menanti kita sangat besar. Apa pun keadaannya kerajaan perpaduan kini membawa harapan rakyat besar.

“Inilah masanya kita kembalikan keyakinan rakyat,” katanya, lapor FMT.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *