Oleh BADLISHAH MAT
TIADA laluan mudah buat Pakatan Harapan (PH) yang kini bersama Barisan Nasional (BN) untuk merampas negeri Kedah daripada Perikatan Nasional (PN) disebabkan beberapa perkara terutamanya rekod pemerintahan lalu membabitkan kedua-dua gabungan itu.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, meskipun PN memiliki kelebihan untuk mempertahankan kerajaan negeri ketika ini, namun mereka tetap tidak memandang mudah lawan tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Memang Kedah menjadi tarikan baik di pihak PN mahupun PH-BN. Kita sedang memerintah, mereka pula berhasrat nak rampas negeri ini kerana mereka nak rampas Kelantan dan Terengganu tak larat, jadi mereka pulun di Kedah.
“Bukan jalan mudah untuk PH dan kita pun tak anggap pakatan mereka itu mudah dihadapi. Sebab itu kita persiapkan jentera lebih awal dan sudah mulakan kempen yang dibenarkan sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada minggu keempat Jun,” katanya selepas pelancaran Himpunan Jentera Pilihanraya PN di Guar Chempedak, malam tadi.
Terdahulu ketika berucap, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN mendakwa, PH dan BN yang pernah menjadi kerajaan di negeri Kedah sebelum ini tidak memberikan impak yang baik kepada rakyat mahupun negeri itu.
“Masa jadi kerajaan depa buat apa? Apa hasil tangan PH di Kedah, tolong tunjuk kalau ada. Semasa BN perintah Kedah saya nak ingatkan semula pada tahun 2008 kita (kerajaan Pas ketika itu) telah buat audit dan mendapati BN tinggal hutang bekalan air berjumlah RM2.4 bilion.
“Mai PH (jadi kerajaan) tinggal hutang gaji pemain bola sepak tak bayar RM16 juta. Kutip dana kes Akhyar (Rashid) dapat RM50,000 dan masuk akaun cuma RM10,000. Kita tak cerita lagi duit persatuan hoki..
“Setiap orang itu semua ada penyakit, nak bawa balik jadi kerajaan di Kedah ini jahanam lah negeri ini. Untuk elak benda itu dan kekal negeri ini bersih, tenang dan berdaya huni maka kekalkan lah PN sebagai kerajaan yang tadbir Kedah,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, kesemua enam menteri besar dan ketua menteri yang akan terlibat PRN masih mempunyai persefahaman untuk membubarkan DUN serentak bagi membolehkan tarikh mengundi disekalikan.
Katanya, persefahaman hasil pertemuan bersama pada Februari lalu masih tidak berubah setakat ini dan disebabkan tiada perjumpaan susulan yang khusus untuk membincangkan perkara itu, maka rundingan tersebut masih terpakai selagi tiada perubahan.
“Tak ada siapa buat rancangan apa pun. Saya tak pasti kalau PH tiba-tiba bertukar angin tetapi Kedah, Kelantan dan Terengganu masih sama mahukan tarikh pilihan raya yang sama.
“Ada risiko kalau tak buat sekali, sama ada mereka akan ‘renyak’ kita atau pun kita ‘renyak’ mereka. Jadi lebih baik adakan sekali,” katanya.
Leave a Reply