BEKAS Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Ghani berkata, mana-mana pihak menjadi kerajaan tidak akan kekal jika tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat.
Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, justeru kerajaan perlu menumpukan kepada ekonomi rakyat dan negara bagi memastikan kestabilan politik.
“Bila cerita tentang ekonomi rakyat, mereka mahukan makanan. Tidak kira mereka datang daripada T20, M40, atau B40.
“Jangan sampai tidak ada ayam dan telur,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Dalam pada itu, Johari berkata, kerajaan juga perlu memberikan kualiti pendidikan, peluang pekerjaan, dan perumahan kepada B40.
“Di samping dapat rumah, perlu ada perkara asas iaitu jalan raya yang efisien sampai ke rumah mereka dan mempunyai utiliti seperti elektrik, air serta internet,” katanya.
Mengulas ekonomi negara, Johari berkata, kerajaan perlu berkebolehan membawa pelaburan dalam negara termasuk dari luar negara.
Katanya, kerajaan juga apabila mendapat pendapatan hasil kutipan cukai perlu membelanjakannya untuk membina infrastruktur seperti sekolah, universiti, dan hospital.
“Rakyat tak suka sakit…kerajaan perlu bina hospital-hospital dengan duit yang dapat ini untuk jaga kesihatan rakyat secara keseluruhannya.
“Ekonomi rakyat dan negara saling kait antara satu sama lain dan untuk jayakannya, kerajaan perlu pastikan sebuah kerajaan itu dapat beri kestabilan politik, ada integriti di kaca mata rakyat, dan mempunyai pengalaman tadbir kerajaan,” ujarnya lapor FMT.
Leave a Reply