Kerajaan Perpaduan takut tumbang, tak mustahil Pejuang sokong PN

Oleh BADLISHAH MAT

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor beranggapan ketakutan yang membayangi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berhubung ura-ura Kerajaan Madani bakal tumbang mungkin kerana perkara itu ada asasnya.

Kata beliau, kenyataan berbentuk penafian yang dibuat oleh pemimpin kedua-dua gabungan itu kebelakangan ini menampakkan lagi kebimbangan mereka dengan jelas.

“Pasal apa dia takut sangat? Pasal dia tahu kita ada (angka) kan. Kalau dia tak nafi mungkin orang anggap perkara itu sebagai khabar angin saja. Bila dinafikan perkara itu, mengikut petua orang tua-tua katanya benda itu betul,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Pelancaran Himpunan Jentera Pilihanraya Perikatan Nasional (PN) Kedah di Padang Awam, Guar Chempedak di Yan malam tadi.

Muhammad Sanusi berkata, beliau juga tidak boleh mengesahkan atau menafikan perkara tersebut namun berharap ianya menjadi kenyataan.

“Sah pun tak tau, nafi pun tak tau. Saya gembiralah kalau boleh berlaku dan saya menanti-nantikan saat itu. Saya doakan ia menjadi kenyataan. Sangat tidak mustahil (untuk berlaku).

“Jangan tanya saya (jumlah akuan sumpah berkanun) sebab saya bukan Ahli Parlimen. Saya tak tahu tetapi yang mereka sedang bercakap banyak itu (126) lah,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah menyifatkan adalah tidak mustahil sekiranya parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyatakan sokongan kepada PN untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Katanya, walaupun permohonan Pejuang untuk menyertai PN ditolak sebelum ini, kemungkinan Pejuang bekerjasama bersama mereka menerusi platform lain seperti Proklamasi Orang Melayu bukan perkara yang luar biasa.

“Mungkin (boleh bersama), saya tak tahu kalau Pejuang ada melakukan permohonan sekali lagi. Proklamasi tersebut bukan parti politik, mereka sebuah badan bertindak tetapi boleh menjadi medan untuk menyatukan orang Melayu sebab Pejuang pun dalam kalangan orang Melayu juga,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *