RAMAI pemimpin parti kerajaan perpaduan menganggap hari ini telah mencipta sejarah apabila mereka yang dahulunya bermusuh antara satu sama lain dapat berkumpul menghadiri Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan.
Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fadhlina Sidek berkata, lebih manis lagi apabila pemimpin parti-parti kerajaan perpaduan berkumpul di Pusat Dagangan Dunia (WTC), yang menjadi lokasi Barisan Nasional (BN) dan UMNO berkumpul setiap tahun.
“Tidak tergambar tempat kumpul UMNO dan BN, hari ini bermukimnya seluruh wanita kerajaan perpaduan,” katanya ketika berucap di Dewan Merdeka WTC, hari ini.
Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan hari ini menghimpunkan perwakilan dan pemimpin daripada 19 parti politik yang membentuk kerajaan perpaduan bagi membina kerjasama lebih utuh pada masa akan datang.
Seawal 10 pagi, konvensyen yang diadakan buat julung kali itu membuka tirainya menerusi Konvensyen Nasional Wanita dan Konvensyen Nasional Pemuda Puteri, yang diadakan serentak.
Sementara itu, Ketua Wanita DAP, Chong Eng berkata, ini kali pertama beliau masuk dan berucap di WTC.
Menurutnya, UMNO dan DAP yang dahulunya ‘bermusuh’ kini menjadi kawan demi kebaikan negara.
“Dulu kita (DAP dan UMNO) lawan, sekarang kita jadi kawan. Ini untuk Malaysia lebih baik. Untuk semua,” katanya.
Ketua Pemuda PKR, Adam Adli pula berkata, konvensyen kali ini bukan satu himpunan biasa.
“Ini adalah permulaan, bagi parti-parti terbabit menyatakan kesepakatan, persetujuan dan kesediaan untuk membentuk sebuah negara lebih baik.
“(Selepas) berpuluh tahun bermusuh dalam politik, kali ini, kita letak titik noktah,” katanya ketika berucap di pentas Konvensyen Pemuda.
Beliau berkata, tentu sekali bukan mudah dan bukan sekadar lontarkan menerusi bicara atas pentas kerana ada banyak perbezaan perlu diuruskan dan pemimpin yang mengetuai sayap Pemuda mesti pulang dengan tanggungjawab besar untuk uruskan perbezaan sebaiknya.
Bagi Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd Fauzi, Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan itu dilangsungkan demi kestabilan politik negara.
Katanya, sebelum ini tidak ada satu parti pun yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan, maka perlu ada gabungan kerajaan perpaduan.
“Hari ini kita kumpulkan semua parti politik dalam kerajaan perpaduan untuk bawa resolusi yang membawa kebaikan kepada rakyat di luar sana,” katanya, lapor FMT.
Leave a Reply