BEKAS Pengarah Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, UMNO perlu mendengar suara akar umbi dan menunjukkan keikhlasan sekiranya mahu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri Julai depan.
Menurutnya, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu telah membuktikan, kealpaan pimpinan parti dalam perkara itu membawa kekalahan cukup besar di peringkat Parlimen dan negeri.
“Pilihan raya ini (PRN), saya mohon cek betul-betul peringkat akar umbi, jangan dengar dua ke tiga orang bercakap sahaja yang kebanyakannya hanya jadi pengampu dan penyokong.
“Dulu semasa PRU15, semua dah dapat maklum balas dari peringkat bawah bahawa kita ada masalah, tetapi kita tak mahu dengar kononnya UMNO kuat dan boleh menang.
“Sekali kalah kerana jentera pilihan raya ketika itu tidak mendalami kemahuan dan masalah akar umbi,” katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri TT Group Companies di Taj International College (TIC) di Ipoh hari ini.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata, parti keramat orang Melayu tersebut perlu bangkit melakukan gerakan yang boleh membangkitkan semangat dan keyakinan pengundi.
Sekiranya tiada perubahan katanya, maka perjuangan Melayu yang dibawa UMNO akan berdepan halangan lebih berat pada masa akan datang.
“Walaupun keahlian saya dah digantung, sebagai orang Melayu saya ada hak untuk menyeru kepimpinan menangkan parti ini, jangan fikir benda lain kerana orang Melayu bergantung kepada UMNO.
“Walaupun sekarang dah terpaksa bekerjasama dengan DAP, UMNO mesti tegak atas kaki sendiri, mesti bangkit dan menang semula,” ujarnya, lapor Sinar Harian.
Leave a Reply