Akmal mohon maaf kritik pelantikan pimpinan PH di agensi bawah Mohamad Sabu

KETUA Pergerakan Pemuda UMNO memohon maaf secara terbuka atas kritikannya terhadap keputusan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu melantik lima pemimpin Pakatan Harapan (PH) menerajui agensi utama di bawah kementerian itu sebelum ini.

Ini susulan kritikan Dr. Muhamad Akmal Saleh yang membuat keritikan terhadap lima pemimpin daripada Parti Amanah Negara (Amanah) itu.

Melalui sesi dialog dalam Konvensyen Pemuda Perpaduan 2023, hari ini, Muhamad Akmal menzahirkan permohonan maaf itu kepada parti Amanah.

“Hari ini saya berdiri di atas pentas Kerajaan Perpaduan…saya faham hari itu bila kenyataan saya berhubung lantikan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) (kritikan)…maka untuk sahabat Amanah, saya berbesar hati dan merendah diri ingin memohon maaf,” katanya, memetik laporan Berita Harian.

Mohamad juga adalah Presiden Amanah.

Sebelum ini, Muhamad Akmal yang mengkritik keputusan pelantikan lima pemimpin PH itu dalam agensi utama di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, meminta Mohamad supaya menarik semula lantikan terbabit.

Ini membabitkan bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP); Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan ADUN Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali sebagai Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Selain itu, bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail sebagai Pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan ADUN Behrang, Aminuddin Zulkipli sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *