ENAM penumpang bas ekspres cedera ringan apabila kenderaan merempuh belakang sebuah lori di Lebuhraya Utara Selatan berdekatan Kuala Kangsar, awal pagi ini.
Dalam kenyataan hari ini, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (JBPM) Perak, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mereka menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 2.46 pagi.
‘’Berdasarkan maklumat daripada pemandu bas ekpres, bas itu yang membawa 26 penumpang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke KL Sentral telah terlanggar bahagian belakang sebuah lori. Terdapat enam orang mangsa telah mengalami kecederaan tetapi tiada mangsa tersepit,” katanya.
Beliau berkata, anggota bomba memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum dihantar ke hospital dengan jentera EMRS dan ambulan Kementerian Kesihatan (KKM).
Mohamadul berkata, bas tersebut dipercayai menghadapi masalah brek dan pemandu dikatakan terpaksa melanggar pembahagi jalan bagi mengelakkan risiko kemalangan lebih teruk.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Saiful Hanif Mahmad Ayub tamat jam 3.40 pagi.
Leave a Reply