‘MUHASABAH diri, kesyukuran dan keinsafan’ – Itulah kata-kata di penghujung kenyataan Ahmad Zahid Hamidi sempena Ulang Tahun Ke-77 UMNO semalam.
Penulis tidak nafikan tiga sikap itu amat penting jika UMNO ingin bangkit semula setelah kini memetik kata Khairy Jamaluddin ‘hidup segan mati tak mahu. Tetapi soalnya adalah pemimpin UMNO termasuk Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO mempraktikkan ketiga-tiga sikap tersebut?
Penulis bertanya kerana dalam permulaan kenyataan itu Zahid berkata musuh UMNO terus cuba membina propaganda negatif kerana tidak senang dengan kedudukan UMNO sekarang. Soal siapa musuh UMNO yang dimaksudkan? Walaupun penulis tahu ia ditujukan kepada Perikatan Nasional tetapi Zahid perlu imbas kembali siapa musuh UMNO yang menumbang parti itu selepas 60 tahun memerintah?
Bukankah musuh itu kini sudah menjadi sahabat baik kepada UMNO dalam kerajaan yang UMNO hanya menumpang kuasa?Tidakkah Zahid melafazkan kesyukuran kerana UMNO masih terus berada dalam kerajaan biarpun dua kali ditolak dalam PRU dan tidakkah Zahid dan pemimpin UMNO ada keinsafan terhadap apa yang berlaku?
Zahid boleh menuding jari menyalahkan sesiapa sahaja yang kononnya mewujudkan lensa perkauman dan propaganda kebencian. Apa yang berlaku kepada UMNO dalam dua pilihan raya umum sebelum ini bukan kerana faktor tersebut tetapi disebabkan kesilapan UMNO sendiri yang tidak dapat membaca bahawa orang Melayu semakin menolak parti.
Pemimpin UMNO bagaikan tidak tahu bermuhasabah, tidak mahu bersyukur dan tidak belajar untuk insaf terhadap petaka politik yang melanda mereka. Sebaliknya apabila berlaku sesuatu ke atas parti mulanya melalak salahkan orang lain.
Hentikanlah politik menuding jari sebaliknya belajarlah bermuhasabah, bersyukur dan menginsafi diri. Fahamilah UMNO sudah tidak ada taringnya,UMNO sudah tidak mengerunkan dan UMNO sudah terhapus kewibawaannya.UMNO kini dilihat sebuah parti yang terpaksa bergayut kepada parti lain untuk merasai nikmat berkuasa biarpun rakyat khususnya orang Melayu secara terang-terangan telah menolak parti itu melalui PRU.
UMNO tidak akan ke mana kalau Zahid dan pemimpin UMNO lebih selesa untuk menyalahkan orang lain terhadap apa yang berlaku kepada parti itu. Impian untuk bangkit semula boleh dianggap sekadar mimpi bagi sang pemimpin yang mahu ‘menutupi’ kelemahan sendiri.
Zahid dan pemimpin UMNO perlu ingat mereka boleh berbuat atau berkata saja kepada Bersatu, mereka boleh memperlekeh apa saja kepada Pas tetapi hakikatnya ia tidak akan mampu menguatkan kembali UMNO. Yang bermasalah bukannya Bersatu atau Pas, yang menyebabkan UMNO kalah dalam dua PRU bukan disebabkan propaganda tetapi UMNO tersungkur kerana kesilapan pemimpin parti itu sendiri.
Oleh itu hentikanlah tabiat menuding jari kepada orang lain sebabnya kalau pemimpin UMNO bijak bermuhasabah, pandai bersyukur dan cerdik menginsafkan diri sudah pasti UMNO tidak akan ditolak dua kali berturut-turut dalam PRU. Kenapa itu berlaku? Ia terjadi kerana perkataan muhasabah,kesyukuran dan keinsafan hanyalah mainan lidah pemimpin UMNO.
Hakikatnya orang Melayu melihat UMNO tidak berubah biarpun sudah tertiarap dalam PRU. Pemimpin UMNO dilihat masih angkuh dan kekal dengan perangai lama yang menjadi punca mereka ditolak oleh rakyat. Paling ketara pemimpin UMNO tidak tahu berundur biarpun sudah menjadi liabiliti kepada parti, masih mahu mempertahankan jawatan seolah-olah ia mahu dibawa ke liang lahad.
Ketika parti-parti lain termasuk sahabat-sahabat UMNO dalam kerajaan memberi ruang kepada generasi muda, di peringkat bahagian ‘muka-muka lama’ masih menjadi ‘panglima perang’. Paling melucukan, mereka yang kalah dalam pilihan raya diberikan jawatan dan kedudukan manakala paling malang pemimpin UMNO dilihat kemaruk kuasa.
Semua inilah menimbulkan perasaan mual dan muak orang Melayu terhadap UMNO. Janganlah bila sudah ‘menumpang kuasa’ dalam kerajaan, UMNO rasa sudah kuat kembali, kalau itulah pemikirannya ia kesilapan besar. Tidak perlu berselindung untuk menyatakan penyertaan UMNO hanya semakin melemahkan parti itu.
Tak payahlah berbangga apabila bangunan UMNO menjadi pejabat Sekteriat Kerajaan Perpaduan, usahlah gembira apabila pemimpin kanan PKR, DAP dan Amanah menjejak kaki di premis tersebut. Ia kerana apa yang penting sejauh manakah kesepakatan yang cukup disayangi oleh UMNO akan memberi manfaat politik kepada mereka. Setakat ini ramai berpendapat UMNO lebih banyak rugi daripada untungnya, kalau tak percaya tunggu sahaja PRN di 6 negeri dan PRU akan datang.
Kesimpulannya adalah lebih wajar UMNO benar-benar bermuhasabah, memahami erti kesyukuran dan mewujudkan keinsafan jika mahu bangkit semula. Jika itu tidak dilakukan UMNO bukan sahaja ‘hidup segan, mati tak mahu’ sebalik ‘hidup pun tidak, mati pun bukan’.
Leave a Reply