Siasatan terhadap Jho Low masih berjalan, kata KPN

KETUA Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, siasatan polis terhadap ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd masih berjalan.

“Pada masa ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih berusaha membawa pulang Jho Low.

“Kertas siasatan terhadap Jho Low dibuat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA).

“Bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) kertas siasatan terhadap Jho Low iaitu di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengubahan Wang Haram, masih berjalan.

“Pertuduhan ke atasnya (Jho Low) sudah dibuat di mahkamah pada Ogos 2018,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Pada masa ini katanya, beliau masih belum berkesempatan untuk bertemu dengan Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berhubung usaha membawa pulang Jho Low untuk dibicarakan.

“Apa yang saya tahu usaha membawa balik Jho Low sedang giat dilakukan oleh SPRM, namun saya masih belum mempunyai butiran lanjut kerana belum berkesempatan bertemu Tan Sri Azam Baki,” katanya, lapor Astro Awani.

Beliau berkata tiada sebab untuk siasatan kes berkenaan ditutup sehingga Jho Low dihadapkan ke mahkamah.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *