PRN adalah ‘nyawa’ terhadap survival Kerajaan Perpaduan

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, keputusan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi akan memberi kesan terhadap kelangsungan survival Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelas beliau, sama ada menang atau kalah, PRN tersebut akan mempengaruhi kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) itu.

“Jika PH dan BN di Semenanjung mencapai kemenangan selesa dalam PRN di enam negeri terbabit, besar kemungkinan kerjasama dua gabungan politik itu akan mengalami perubahan kualitatif yang menjurus kepada transformasi bentuk dan intipati.

“Jika Anwar Ibrahim berjaya memimpin gabungan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan memasuki PRN di enam negeri nanti dengan keadaan tersusun dan teratur dan tidak bertanding melawan sesama sendiri.

“Sebaliknya, siapa jua calon-calon yang bertanding adalah mewakili kehendak dan mandat dari kerajaan perpaduan walau apapun logo parti yang dipakai, maka imej kerajaan perpaduan akan muncul dengan wajah yang penuh wibawa mewakili gabungan super mega,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, Anwar tentu tidak mahu mengulangi kesilapan kerajaan persekutuan gabungan Perikatan Nasional (PN) dan BN di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memasuki PRN di Melaka dan Johor setahun lalu dalam keadaan berpecah dan caca-merba.

Kata Hassan, situasi tersebut mengakibatkan gabungan politik itu bertempur sesama sendiri dalam PRN berkenaan.

Justeru katanya, Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pada Ahad ini di Kuala Lumpur wajar diberi perhatian serius.

Menurutnya, ini kerana akan menentukan hala tuju dua gabungan politik berkenaan dabn l
Langkah mengadakan konvensyen tersebut merupakan satu inisiaif positif bagi Kerajaan Perpaduan yang kini mentadbir di Putrajaya.

“Ia memberi makna kerjasama parti-parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan ini ingin diterjemahkan menjadi kerjasama politik yang lebih mantap dan tersusun dari peringkat atas hinggalah ke peringkat akar umbi di ranting-ranting dan di cawangan-cawangan organisasi parti di seluruh negara.

“Kewujudan konvensyen nasional ini juga memberi petanda bahawa kerjasama dalam bentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat kerajaan Persekutuan bukanlah sekadar muafakat semusim dan sepenggal hingga ke pilihanraya umum akan datang sahaja,” katanya.

Tambahnya, usaha secara sedar atau tidak sedang diatur untuk membentuk satu pakatan berupa gabungan mega yang memayungi PH dan BN.

Keperluan mengadakan konvensyen nasional Kerajaan Perpaduan itu kata Hassan, begitu mendesak kerana didorong cabaran yang sedang menanti iaitu PRN di enam negeri itu tidak lama lagi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *