MAYAT lelaki Orang Asli suku kaum Bateq yang hilang ketika memancing dipercayai dibaham harimau Selasa lepas, ditemukan di Kuala Sungai Tunggul semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mayat Halim Asin, 27, dijumpai oleh pasukan penyelamat pada pukul 5.10 petang dalam keadaan terlungkup dan tersangkut pada tunggul kayu pada jarak kira-kira dua kilometer (km) dari tempat kejadian.
“Mayat ditemukan dalam keadaan separuh bogel dan hanya memakai baju berwarna gelap, dipercayai hanyut dari tempat kejadian sehingga ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang memulakan operasi pagi semalam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Kampung Aring 5 di Gua Musang hari ini.
Mengulas lanjut, Choon Foo berkata, berikutan keadaan persekitaran di hutan yang gelap dan agak berbahaya, pasukan penyelamat mengambil keputusan untuk mengeluarkan mayat mangsa pagi tadi dan tiba ke tebing Sungai Aring 5 kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.
Choon Foo berkata, misi SAR itu melibatkan lapan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), serta polis menamatkan SAR itu berikutan penemuan mayat mangsa.
Sementara itu, abang ipar mangsa Kuang Cemetong, 31, yang menyertai operasi SAR dari hari pertama pencarian Rabu lepas meluahkan rasa lega kerana mayat Halim berjaya ditemukan.
“Saya adalah antara orang pertama yang melihat mayat mangsa. Perasaan ketika itu sangat sedih, namun lega apabila Halim akhirnya dijumpai.
“Keluarga masih belum dimaklumkan tentang berita penemuan ini dan balik nanti saya akan beritahu kepada ayah, kakak serta anaknya,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Halim hilang ketika memancing bersama anak saudaranya Alang Kuang, 8, di Sungai Aring 5, dikhuatiri menjadi mangsa serangan harimau.
Leave a Reply