Lebih 1 tan pil esktasi bernilai RM78j dirampas di pelabuhan P. Pinang

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya mematahkan cubaan menyeludup lebih satu tan pil dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) atau ekstasi bernilai lebih RM78 juta di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth (NBCT), Sabtu lalu.

Ia merupakan kejayaan rampasan dadah terbesar di Malaysia bagi tahun ini.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan berkata, rampasan itu dilakukan sekumpulab anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pulau Pinang yang menahan sebuah kontena yang dibawa masuk melalui pelabuhan itu kira-kira pukul 9 pagi.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kontena terbabit diisi dengan 20 unit pemampat senyap piston (silent compressor).

Bagaimanapun, ujar beliau, pemeriksaan lanjut mendapati sebahagian unit itu telah diubah suai ruang dalamannya yang mana bungkusan berisi pil-pil dadah terbabit disembunyikan.

Jelasnya, siasatan awal mendapati, kontena itu dibawa masuk dari negara Eropah dan pihaknya kini sedang mengenal pasti pihak lain yang terlibat dalam pengimportan dadah secara besar-besaran terbabit.

“Seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun yang juga ejen turut ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Pencegahan Negeri Pulau Pinang, Butterworth hari ini.

Dalam pada itu, Zazuli menggesa orang ramai membantu pihak berkuasa memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan sebagainya.

Katanya, jenayah penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Orang awam boleh memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau membuat laporan di pejabat kastam terdekat di semua negeri,” katanya.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pihak berkuasa Australia berjaya merampas dadah heroin seberat 336 kilogram yang dibawa masuk menerusi kontena dari Malaysia ke Brisbane pada 13 Mac lalu.

Dadah yang dianggarkan bernilai RM789.56 juta itu ditemukan ditanam dalam dua blok konkrit di dalam kontena terbabit.

Kontena terbabit didaftarkan membawa perkakas solat dan dialamatkan ke sebuah pusat industri di Brendale, utara Brisbane.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *