EMPAT kesan tikaman ditemui pada mayat seorang pengurus syarikat yang maut dalam pergaduhan, selepas menegur saiz payudara seorang wanita dalam kejadian di Jalan Kenanga Melaka, kelmarin.
Berita Harian melaporkan, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata kesan tikaman itu dikenal pasti selepas bedah siasat dijalankan mayat mangsa berusia 32 tahun itu.
“Pemeriksaan mendapati ada empat kesan tikaman iaitu di rusuk kiri dan kanan, yang mana satu daripadanya terkena pada hati, manakala satu terkena bahagian jantung, selain satu lagi tikaman di bahagian belakang badan.
“Punca kematian mangsa adalah disebabkan tikaman di bahagian jantung,” katanya
Patit berkata, siasatan polis mendapati, selain bercakap mengenai saiz payudara, mangsa bersama rakan bercakap mengenai saiz punggung seorang pelanggan wanita, sebelum tercetus pertengkaran dan pergaduhan hingga membawa maut.
“Ketika mangsa hendak beredar dari gerai yang disinggahi itu, dia ternampak pelanggan wanita yang juga kekasih seorang ahli perniagaan lalu berkata kepada rakannya, yang perempuan itu mempunyai punggung dan payudara besar.
“Kesemua sembilan tangkapan termasuk suspek utama yang juga pengawal peribadi kepada ahli perniagaan terbabit, direman tujuh hari sehingga 16 Mei depan bagi membolehkan siasatan lanjut diteruskan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan angkara mengeluarkan perkataan tidak senonoh, seorang pengurus syarikat maut dalam pergaduhan di tempat letak kereta di Jalan Kenanga.
Kejadian dilaporkan dikatakan berlaku di antara jam 4 hingga 4.15 pagi dan mangsa berusia 35 tahun itu disahkan meninggal selepas dibawa ke Hospital Melaka, kira-kira 5.20 pagi, untuk menerima rawatan.
Beliau berkata, sebelum kejadian kira-kira 2 pagi itu, mangsa dipercayai mabuk selepas berhibur pergi ke gerai berhampiran lokasi kejadian untuk makan dan minum bersama rakan-rakannya.
Leave a Reply