NORAZIZAN Yahya sudah berkhidmat sebagai guru sekolah menengah di Johor selama tiga tahun sebelum membuat keputusan untuk membeli kereta mampu milik dengan pinjaman bank selama sembilan tahun.
Ketika itu, dia merasakan situasi kewangannya sudah stabil dan mampu untuk menguruskan perbelanjaan ansuran bulanan.
Dia mula mendapatkan pinjaman kenderaan pada Januari 2020 iaitu kira-kira tiga bulan sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19. –
Katanya meskipun ketika itu terdapat kemudahan yang diumumkan kerajaan seperti moratorium pinjaman bank, dia masih membayar bayaran kenderaan sebanyak RM485 sebulan kerana gaji bulannya sebagai guru tidak terjejas.
Selepas pandemik, kata Norazizan, hidupnya mula berasa “sesak” kerana terkesan dengan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sejak beberapa bulan lalu.
Paling terbaru, bayaran ansuran kenderaan Perodua Bezza yang berusia tiga tahun itu berubah dan meningkat sekali lagi apabila Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan OPR meningkat 25 mata asas kepada 3%.
Dia memberitahu, ansuran bulanannya sebelum ini pernah meningkat kepada RM545 dan kini dia menerima surat dan panggilan telefon daripada pihak bank dengan kadar ansuran baru berjumlah RM533 sebulan.
“Saya dan suami memang terkesan sebab kenaikan gaji kami sebagai guru seperti tidak bawa apa-apa makna. Sebabnya gaji naik tapi pada masa sama komitmen hutang bulanan meningkat.
“Sepatutnya kalau gaji ada kenaikan, kami boleh dah nak tarik nafas lega sikit kerana boleh menyimpan (wang). Tapi sekarang nampaknya perkara tu mustahil pula nak dibuat,” katanya kepada MalaysiaNow.
Katanya, selain OPR yang meningkat sehingga menjejaskan pengurusan perbelanjaannya, mereka suami isteri turut terkesan dengan kenaikan harga barang yang tidak menentu.
“Pernah bincang dengan suami rasa nak batalkan pinjaman tapi banyak halangan oleh pihak bank.
“Betul-betul rasa (pinjaman) jadi beban walaupun sebelum ini rasa saya sudah mampu dan stabil. Harapnya tiada lagi kenaikan dalam masa terdekat.”
Norazizan antara salah seorang daripada jutaan peminjam bank di seluruh negara yang terkesan dengan kenaikan kadar OPR yang menyaksikan peningkatan jumlah bayaran bulanan hutang isi rumah.
Dalam media sosial, lebih ramai individu tampil secara terbuka berkongsi kesempitan kewangan masing-masing akibat pengumuman OPR itu.
Rata-rata menyuarakan kebimbangan tentang komitmen masing-masing untuk mengeluarkan peruntukan yang lebih untuk membayar hutang bulanan kepada bank sedangkan keadaan kewangan sedia ada sudah cukup “menghimpit” mereka.
“Nampaknya rumah bukan lagi aset. Liabiliti yang perlu dibayar sehingga habis pencen. Sudah boleh rancang jual rumah dan tak terikat bayaran bulanan yang tak menentu,” tulis Maria Haliza di Facebook.
Selain itu, seorang pegawai kerajaan gred 44 mahu dikenali sebagai Sahibullah berkata dirinya yang tidak mempunyai pinjaman rumah sebaliknya hanya menyewa turut berdepan masalah akibat kenaikan OPR.
Bercakap kepada MalaysiaNow, dia dan isterinya sudah setahun empat bulan menyewa sebuah unit kondominium di Presint 15 dengan harga sewaan sebanyak RM1,350 sebulan.
Unit itu datang dengan tiga bilik dan diisi perabot sepenuhnya menjadikan ianya satu unit rumah yang mampu milik di kawasan elit berkenaan.
Bagaimanapun, kata Sahibullah pada bulan Jun akan datang, tuan rumah meminta kenaikan harga bayaran bulanan sebanyak RM200 dengan alasan bayaran bulanan pinjamannya meningkat.
“Ini di luar perjanjian yang kita tandatangan. Tapi kalau kita keluar rumah dah batalkan kontrak, deposit lebih RM4,000 tak dapat semula.
“Saya dah isteri jadi tersepit. Nak keluar tapi nak ke mana? Kalau terus sewa, bayaran mahal. Lebih baik beli rumah sendiri.
“Tapi kalau beli rumah, bayar pinjaman bank berpuluh tahun. Kalau terus jadi penyewa, macam tak dapat pembelaan pula.”
Kali terakhir OPR berada pada kadar 3% ialah 5 November 2019 sebelum ia diturunkan kepada 1.75%, paras terendah dalam sejarah pada 7 Julai 2020 disebabkan penularan Covid-19.
Tahun lalu, OPR mula dinaikkan sebanyak empat kali kepada 2.75% dengan peningkatan kumulatif 100 mata asas sebelum ia dinaikkan sekali lagi pada 3 Mei lalu kepada 3%. -MALAYSIANOW
Leave a Reply