Siasatan dijalankan secara telus bukan faktor politik – SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan siasatan yang dijalankan agensi itu bukan bertujuan menekan individu tertentu disebabkan faktor politik.

Dalam kenyataan hari ini SPRM berkata, tindakan sama ada ketika proses siasatan atau selepas pertuduhan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang berdasarkan prinsip bebas, telus dan profesional.

“Tohmahan oleh seorang bekas menteri yang mengatakan SPRM sengaja mengada-adakan siasatan bagi tujuan pertuduhan untuk mencemarkan namanya adalah tidak benar sama sekali dan menjejaskan imej suruhanjaya ini.

“Setiap tindakan sama ada semasa proses siasatan atau selepas pertuduhan ia dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang berdasarkan prinsip bebas, telus dan profesional serta tidak sesekali bertujuan menekan mana-mana individu tertentu atas faktor politik atau seumpamanya,” katanya hari ini.

Menurut SPRM lagi, semua siasatan yang dijalankan adalah berdasarkan maklumat serta bukti sahih yang diperoleh oleh agensi itu.

“Kertas-kertas siasatan yang sudah dilengkapkan dengan penemuan elemen-elemen kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 serta akta berkaitan kemudian dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk kajian dan pertimbangan sewajarnya,” kata SPRM.

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, mengesahkan beliau dipanggil SPRM bagi memberi keterangan berkait satu kes pendakwaan ke atas ahli perniagaan, Sim Choo Thiam di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Hamzah mendakwa, kes pertuduhan di mahkamah membabitkan ahli perniagaan itu yang turut mengheret namanya jelas bertujuan untuk merosakkan nama baiknya, BERSATU dan Perikatan Nasional (PN).

Semalam, Choo Thiam mengaku tidak bersalah atas tuduhan meminta dan tiga tuduhan menerima rasuah membabitkan RM15 juta yang kononnya berlaku dua tahun lalu.

Dalam perkembangan sama, Berita Harian melaporkan,  peguam Fahmi Abd Moin, berkata tindakan SPRM memanggil Hamzah untuk memberi keterangan berhubung kes berkenaan disifatkan agak luar biasa.

“Ia bukan satu kebiasaan jika Hamzah pertama kali dipanggil untuk memberikan keterangan kepada agensi siasatan terbabit selepas namanya dinyatakan dalam pertuduhan semalam.

“Bagaimanapun, ia adalah perkara normal jika bekas Menteri Dalam Negeri itu sudah dipanggil sebelum ini berhubung pertuduhan sama kerana berkemungkinan terhadap isu baharu yang dibangkitkan,” katanya yang juga bekas timbalan pendakwa raya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *