Sempat ucap selamat tinggal kepada isteri sebelum maut dibelit sawa 7 meter

SEORANG warga emas sempat mengucapkan selamat tinggal kepada isterinya sebelum dia ditemui maut dibelit seekor ular sawa sepanjang tujuh meter dalam kejadian dekat Konawe Selatan, Sulawesi Tenggara, Indonesia, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira 8.15 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Rasmin, 63, ditemui sedang ditelan dan sudah tidak bernyawa oleh menantu dan anak perempuannya di kebun mereka.

Ketua Polis Tinanggaea, Iptu Asiz Doali berkata, mangsa pergi ke kebun untuk melihat lembu peliharaannya dan mengucapkan selamat tinggal kepada isteri pada pukul 4.30 petang.

Bagaimanapun, isteri mangsa yang dikenali sebagai Inah mula risau apabila suaminya tidak pulang ke rumah meskipun sudah menjelang lewat petang.

Isteri mangsa kemudian meminta menantunya yang dikenali sebagai Suparjo dan anak mangsa untuk pergi ke kebun mencari mangsa.

“Suparjo dan isteri kemudian pergi ke kebun dan terkejut apabila mendapati mangsa dibelit ular sawa.

“Mereka kemudian meminta bantuan penduduk setempat untuk membantu menyelamatkan mangsa.

“Mangsa nyaris ditelan ular sawa tersebut kerana kepala mangsa telah masuk ke dalam mulut ular tersebut,” katanya menurut laporan UtusanTV memetik Detik.com.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tinanggea, Ipda Yusuf berkata, pemeriksaan mendapati tubuh mangsa patah akibat dibelit.

“Ular tersebut membelit seluruh badan mangsa sehingga menyebabkan tulang rusuknya patah.

“Terdapat juga kesan gigitan di kaki dan leher mangsa. Dipercayai ular tersebut menerkam leher mangsa kerana terdapat kesan cedera parah,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *