Kanak-kanak dakwa tok wan ‘badan panas ada bulu’ pandu kereta

KANAK-kanak berusia enam tahun yang tular  memandu keretanya di Langkawi mendakwa, bukan dia yang berbuat demikian.

Sebaliknya, kanak-kanak itu mendakwa, “bukan abang bawa (pandu) tapi pak cik dengan tok wan. Tok wan tak (kacak), badan dia panas ada bulu.”

Itulah yang didakwa oleh kanak-kanak tersebut selepas dikatakan memandu Toyota Vios milik keluarganya sehingga terbabit kemalangan dalam kejadian di Jalan Bukit Tangga kelmarin.

Cerita berunsurkan misteri itu timbul berdasarkan perkongsian rakaman skrin audio perbualan di aplikasi WhatsApp yang tular dalam media sosial antara seorang wanita dan kanak-kanak berkenaan yang menjadi perbualan hangat warganet ketika ini.

Berita Harian melaporkan, satu mesej yang dikongsi di WhatsApp itu juga menyatakan berdasarkan cerita orang kampung yang didakwa rapat dengan ibu kanak-kanak itu memaklumkan pemandu kereta adalah orang tua berbadan besar, hitam dan berbulu mengikut cerita kanak-kanak lelaki terbabit.

Dakwa mesej itu juga, seorang lagi lelaki digelar ‘pak cik’ dikatakan duduk di sebelah, manakala seorang lagi duduk di belakang selain mendakwa kanak-kanak lelaki itu duduk di riba lelaki tua itu.

“Pak cik tua tu (itu) la ajaq (ajar) pastu (selepas itu) ajak pi (pergi) kedai tok (atuk)… Adehh seram eh,” kata hantaran mesej itu.

Menerusi rakaman audio yang tular sejak malam tadi, kanak-kanak dipercayai individu yang memandu kereta berkenaan menceritakan semula kejadian itu dan mendakwa kereta itu turut dinaiki tiga individu yang digelarnya ‘pak cik dan tok wan’.

Kanak-Kanak berkenaan juga mendakwa dia diajak individu terbabit untuk bermain permainan video apabila wanita itu menyoalnya ke mana individu berkenaan mengajaknya pergi pada malam itu.

Dia turut menggambarkan wajah lelaki tua itu tidak kacak, badannya berbulu dan panas, manakala seorang lagi digelar pak lang tiada bulu dan pak cik pula yang duduk di hadapan wajahnya agak kacak.

Sementara itu, turut dikongsi audio percakapan seorang lelaki yang mengulas cerita berkenaan dan turut hairan dengan kejadian itu selain meragui bagaimana kanak-kanak lelaki boleh menarik brek tangan jika ia ditarik dengan betul dan kuat.

“Yang itu kita pun pening. Kalau kata dia tekan minyak belah (melanggar) dinding rumah itu biasalah. Ini dia boleh keluar daripada rumah, Masuk gear, turun handbrake (brek tangan).

“Itu tak boleh fikir macam mana dia reserve (undur kereta), corner (membelok), masuk balik keluar pergi ke jalan. Lagi satu handbrake itu kalau betul ditarik (kudrat dewasa) setakat tangan budak tak boleh bawa turun, keras.

“Tapi bila kita renung (lihat) balik, cuba tengok dia nak jadi (kejadian berlaku ketika itu) dekat titi cawang itu juga.. Kot mana pun aih (tidak kira macam mana juga),” katanya.

Bagaimanapun individu lelaki dan wanita dalam audi berasingan itu tidak dapat dikenal pasti.

Semalam, media melaporkan kanak-kanak terbabit dikatakan memandu sejauh 2.5 kilometer (km) dari rumahnya bersama adiknya yang berusia tiga tahun untuk ke kedai bagi membeli mainan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *