Oleh BADLISHAH MAT
KANAK-kanak enam tahun yang tular memandu kereta sehingga terlibat kemalangan di Jalan Bukit Tangga, Langkawi, kelmarin memang mahir mengendalikan kenderaan.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, berdasarkan siasatan yang dibuat, kanak-kanak lelaki tersebut didapati mengetahui fungsi pedal minyak dan gear kenderaan dipandunya.
Malah, pemeriksaan kamera papan pemuka mendapati pemanduan ketika kejadian juga tidak stabil kerana kenderaaan terbabit kadang-kala memasuki lorong bertentangan selain ke kiri dan ke kanan jalan.
“Kanak-kanak tersebut juga menunjukkan cara menghidupkan enjin dan dapat hidupkan enjin apabila diminta. Jadi, kita menolak sebarang unsur mistik seperti mana yang ditularkan mengaitkan kejadian tersebut.
Kanak-kanak tersebut juga menunjukkan bagaimana dia memandu dan turut mengetahui bagaimana hendak menurunkan brek tangan. Malah, dia juga boleh menerangkan penggunaan gear kepada pegawai penyiasat trafik,” katanya hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 11 malam kelmarin, kereta jenis Toyota Vios dipandu kanak-kanak itu terbabas di bahu jalan ketika dalam perjalanan bersama adik lelakinya berumur tiga tahun untuk ke kedai.
Kejadian disedari orang awam sebelum video memaparkan kenderaan berwarna putih itu terbabas tular di media sosial setelah ia dipandu sejauh 2.5 Kilometer (KM) dari rumah mereka di Kampung Padang Mengkuang.
Kanak-kanak yang memandu kenderaan tersebut mengalami luka kecil di bahagian dagu, namun adiknya tidak mengalami apa-apa kecederaan. Kereta tersebut pula mengalami kerosakan di bahagian hadapan sebelah kiri.
Sementara itu, Shariman memaklumkan, jarak rumah ibu bapa kedua-dua kanak-kanak itu ke kedai yang ingin dituju mereka adalah sejauh 5KM.
“Tapi ketika separuh perjalanan, kenderaan terbabit kemalangan setelah terbabas sebelum melanggar tiang lampu di tempat kejadian,” katanya.
Tambahnya, kanak-kanak tersebut dibawa ke Balai Polis Trafik Langkawi oleh ibu bapa mereka semasa keterangan diambil dan pihak polis telah melaksanakan temubual awal terhadap kanak-kanak tersebut.
Leave a Reply