Oleh RIZQI ZABIDI
DAWAAN kononnya Kedah merupakan negeri yang mempunyai lokasi perlombongan haram terbanyak di negara ini merupakan satu bentuk kesalahan fakta yang disengajakan.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa, kementerian terlibat sengaja berbuat demikian dengan Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Fadillah Yusof dipergunakan untuk membuat kenyataan sedemikian.
“Ini disengajakan oleh kementerian, cuma digunakan TPM. Saya tahu TPM baik.
“Dalam mesyuarat itu saya bangkitkan mengenai 60 tapak lombong haram bagi memberi gambaran di seluruh negara dan bukan di Kedah saja kerana di negeri ini, cuma ada satu tapak lombong haram.
“Tetapi selepas TPM buat kenyataan itu, semua pakat ‘tibai’ kita balik,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.
Dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mineral Negara (MMN) kelmarin, TPM mendakwa terdapat 60 tapak perlombongan haram di negara ini dengan kebanyakannya berada di Kedah.
Fadillah mendakwa, Muhammad Sanusi sendiri mengakui perkara itu dalam mesyuarat tersebut namun Menteri Besar memuat naik status di laman Facebooknya tidak lama selepas itu dengan menafikan dakwaan berkenaan.
Ditanya, sama ada mereka yang terlibat dalam membuat dakwaan tersebut perlu membuat permohonan maaf, Muhammad Sanusi berkata, perkara itu terpulang pada mereka.
“Sama ada mereka nak minta maaf atau tidak, terpulanglah. Tetapi ‘depa’ ni tahukah nak minta maaf?
“Saya rasa mereka tak reti (minta maaf) tapi buatlah kerja bagi betul. Jangan ‘tibai’ orang dengan buat kerja tak ketahuan hala,” katanya.
Dalam pada itu Muhammad Sanusi turut mempersoalkan tindakan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menghantar surat kepada pejabatnya untuk meminta menyenaraikan lombong haram di Kedah.
“Saya kata 60 tapak perlombongan haram itu di seluruh negara dan bukan di Kedah saja. Di Kedah cuma ada satu saja iaitu di Bukit Enggang, Sik dan tapak perlombongan itu sudah ditutup manakala pelakunya ditahan serta diambil tindakan.
“Untuk tapak lain di seluruh negara, tugas kementerianlah untuk cari di mana lokasinya. Bukankah banyak agensi di bawah kementerian itu, kenapa nak suruh saya cari pula?” katanya.
Leave a Reply