Oleh RIZQI ZABIDI
DUA kanak-kanak lelaki berusia enam dan tiga tahun terlibat dalam kemalangan setelah mereka mengambil kesempatan memandu kereta tanpa disedari ahli keluarga di Langkawi, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 11.15 malam setelah menerima panggilan kecemasan dari orang awam.
Menurutnya, kanak-kanak berusia enam tahun yang memandu kereta jenis Toyota Vios berwarna putih itu luka di dagu manakala adiknya pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan awal mendapati bapa kanak-kanak itu sedang tidur manakala ibu mereka ke bilik air. Selepas keluar dari bilik air, wanita tersebut mendapati kedua-dua anaknya sudah tiada di rumah.
“Dianggarkan kereta itu dipandu sejauh kira-kira 2.5 kilometer dari rumah mereka sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu di Jalan Bukit Tangga. Kes itu hingga kini masih disiasat,” katanya.
Melalui video berdurasi seminit 36 saat yang tular di media sosial, orang ramai dilihat terkejut apabila mendapati kereta yang terbabas dipandu oleh kanak-kanak.
Kanak-kanak itu kemudiannya mendakwa dia memandu kereta itu untuk ke kedai.
Mengulas lanjut Shariman berkata, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Leave a Reply