AHLI Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd. Yusoff mahu orang ramai mendapatkan bekalan air dengan lebih mudah serta selamat tanpa perlu berdepan kesesakan jalan raya sekali gus membahayakan pengguna lain.
Itu antara punca beliau mengambil air dari pili bomba diberikan untuk kegunaan orang ramai semasa sambutan Aidilfitri sebelum ini sebagaimana tular sejak Sabtu lalu.
Katanya, penduduk di kawasan Rantau Panjang sudah mengalami masalah air berhari-hari sehingga mendorong dia tampil membantuk syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menghantar bekalan kepada mereka.
“Jadi apabila kita nak hantar air kepada penduduk baru-baru ni, dekat dengan musim perayaan dalam seminggu nak raya lori nak angkat air ni bersusun dalam jalan ‘jammed’ dan bahaya, sebab lori besar, berat.
“Sebab itulah Kak Lah berbincang dengan pihak AKSB, dengan pihak bomba lagu mana kita nak (buat) supaya tidak mengganggu laluan jalan, melintas orang ramai.
“Pihak AKSB cadangkan supaya manfaatkan pili bomba sebab di Kelantan ni berbeza dengan negeri lain,” katanya dalam penjelasan melalui TikTok hari ini.
Ia dikeluarkan oleh Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri (UPKN) Kelantan.
Menjelaskan situasi itu Siti Zailah berkata, di negeri lain saluran paip untuk kegunaan bomba berbeza daripada saluran bagi membekalkan air kepada orang awam.
Di Kelantan, katanya, bekalan air yang disediakan untuk masyarakat dan kegunaan Jababatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) adalah sama.
“Paip bomba dan air AKSB aksesnya sama, jadi sebenarnya paip bomba tidak ada bekalan air sendiri.
“Apa yang ada melalui paip bomba yang digunakan untuk (memadam) kebakaran (atau) kecemasan adalah air AKSB,” katanya.
Siti Zailah ini berdepan dengan siasatan selepas didapati mengambil air melalui pili bomba untuk diedarkan kepada penduduk yang berdepan masalah bekalan di Rantau Panjang.
Ia mendapat perhatian Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan selepas Siti Zailah sendiri memuat naik gambar-gambar berkenaan pengambilan air tersebut di media sosial.
Siti Zailah yang juga bekas timbalan menteri itu mendakwa sudah mendapat kebenaran daripada AKSB untuk menghantar bekalan air bersih kepada penduduk setempat dengan kerjasama anggota JBPM Kelantan.
Bagaimanapun, JBPM Kelantan menafikan ada memberi kebenaran kepada Siti Zailah.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming kemudian meminta mana-mana pihak yang menggunakan pili bomba tanpa kebenaran agar meminta maaf.
Kata Siti Zailah, sebelum mengambil air di pili bomba tersebut pihaknya sudah bermesyuarat dengan Exco Kelantan dan AKSB.
“Alhamdulillah air itu kita dapat dari sumber air AKSB tetapi untuk menjimatkan masa dengan cepat maka ambil air itu diambil melalui pili bomba yang berdekatan,” katanya.
Anggota bomba pula, tambah Siti Zailah, tampil untuk membantu memudahkan proses tersebut kerana tidak mudah untuk membuka pili berkaitan.
Menegaskan ‘tidak ada isu’ dalam proses tersebut, ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu turut menekankan bahawa semua penduduk setempat tahu tidak timbul soal mencuri air.
“Kalau Kak Lah nak curi pun, bukan Kak Lah curi untuk Kak Lah tetapi air tu kita (mendapatkannya) untuk rakyat yang memerlukan,” katanya.
Leave a Reply