ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang meninggal dunia selepas dipatuk ular tedung ketika bertugas bakal mengikat tali pertunangan pada Aidiladha ini.
Lans Koperal Mohd Idris Abdul Samad, 33, meninggal dunia pada pukul 9.30 pagi tadi ketika menjalani rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
Ibunya, Noriah Awang, 67, memberitahu, anak lelaki daripada lima beradik itu akan bertunang dengan gadis pilihan hatinya yang berasal dari Pasir Tumboh, Kota Bharu.
“Arwah minat dengan haiwan reptilia ini sejak kecil dan dia mempunyai kemahiran mengendalikan haiwan berbisa itu.
“Dia pernah kehilangan jari tengah pada 2017 akibat dipatuk ular.
“Saya sentiasa menasihati arwah supaya berhati-hati ketika bertugas dan tidak menyangka perkara yang dibimbangkan selama ini terjadi,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kemasin, Bachok.
Katanya, Mohd. Idris dipatuk ular pada pukul 8 pagi kelmarin ketika memindahkan ular dari guni ke sangkar.
“Pada Isnin malam sekitar pukul 11 pagi, dia beritahu merasa tidak selesa di bahagian dada.
“Pada pukul 3 pagi, anak saya sudah kritikal kerana bisa ular telah menyerang bahagian buang pinggangnya,” katanya, lapor Sinar Harian.
Sementara itu, Pengarah APM Kelantan, Mohd. Adzhar Mujab menberitahu, Mohd. Idris sudah berkhidmat selama 14 tahun sebagai anggota APM di Kota Bharu.
Menurut beliau, Allahyarham merupakan seorang anggota yang komited dan terlatih dalam menangkap haiwan berbisa.
Jenazah lans koperal itu dikebumikan selepas solat Zohor diiringi keluarga, rakan serta anggota APM Kelantan.
Leave a Reply