Oleh RIZQI ZABIDI
DUA terbunuh manakala searing kanak-kanak perempuan cedera apabila dua motosikal bertembung di Jalan Sungai Dedap, Kampung Pisang, Yan, Kedah, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 9.15 malam melibatkan motosikal jenis Honda EX5 dan Yamaha 15ZR.
Menurutnya, kejadian itu dipercayai berlaku ketika Mohd. Khatib Sharbini Tajuddin, 41, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5, dalam perjalanan dari Sungai Limau menghala ke Kampung Bahagia.
“Setibanya di lokasi, motosikal ditunggang Mohd. Khatib bertembung secara berdepan dengan motosikal Yamaha 15ZR dinaiki Nur Aina Ellysya Abdul Hadi, 13, bersama adiknya, Nur Aina Syafiqa Abdul Hadi, 11, secara berdepan.
“Kejadian itu dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang Nur Aina Ellysya dan dibonceng adiknya itu secara tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan,” katanya.
Tambah beliau, ketiga-tiga mereka yang terlibat dalam kemalangan itu dipercayai tidak memakai topi keledar.
“Akibat kemalangan itu, Mohd. Khatib dan Nur Aina Ellysya meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Nur Aina Syafiqa pula mengalami kecederaan.
“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Yan untuk dibedah siasat manakala kanak-kanak perempuan yang cedera itu pula turut dibawa ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan.
Tambahnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Setakat ini siasatan masih berjalan dan kami akan berusaha mengesan saksi bebas yang menyaksikan kemalangan itu,” katanya.
Leave a Reply