Kita bangkang secara berfakta bukan nak gulingkan kerajaan – Razali 

PEMBANGKANG tidak pernah mengadakan perbincangan secara khusus untuk menjatuhkan atau menggulingkan kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, mereka memang  tidak bersetuju dengan kerajaan hari ini sebab ‘kita pembangkang’. 

‘’Tetapi kita membangkang dengan fakta, sebagai contoh dalam hal ekonomi yang nampak tak bergerak, tak ada perancangan spesifik bagaimana kerajaan nak bangunkan atau naikkan ekonomi pasca COVID. Dahulu semasa COVID, Tan Sri Muhyiddin Yassin setiap minggu adakan mesyuarat, bincang macam-macam perkara tentang rakyat, tetapi sekarang tidak ada.

“Yang kita nampak hanya Anwar saja yang bercakap sebab dia Menteri Kewangan dan Perdana Menteri juga. Tetapi apabila berlaku perkara macam kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR), ini perkara besar sebab ia akan menyebabkan harga barang keperluan naik tapi yang diberitahu ialah rakyat tak terkesan.

“Jadi kita tidak tahu apa maksud sebenar (dari kenyataan itu), seolah-olah bodoh datang secara mengejut. Dulu nampak cerdik semasa jadi pembangkang. Saya tak faham,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama media di Kuala Lumpur hari ini, lapor Astro Awani.

Turut hadir Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mengenai Proklamasi Melayu yang ditandatanganinya, Razali menegaskan ia bukan tandatangan yang mewakili parti seperti yang disangka ramai.

“Parti arahkan saya hadir ke perjumpaan yang kemudiannya dibatalkan. Selepas itu kami dijemput ke satu majlis buka puasa, sampai di sana saya turunkan tandatangan. Tetapi kami tandatangan proklamasi bukan mewakili parti, sebaliknya ia tandatangan sebagai individu. Saya pergi ke sana untuk menyokong penyatuan Melayu.

“Kami tak ada bincang tentang parti, hanya penyatuan dan sokong apabila Melayu nak bersatu sebab Melayu pun nampak sekarang berpecah. Jadi bila ada negarawan nak menyatukan, kami sokong. Memang kami pergi ke majlis itu mewakili parti tetapi tandatangan yang diturunkan mewakili individu, tiada paksaan,” ujarnya.

Proklamasi yang diasaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *