Masih tidak dibenarkan aktiviti luar kelas-KPM

MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, semua sekolah di seluruh negara masih tidak menganjurkan aktiviti di luar bilik darjah susulan cuaca panas bagi mengelak diserang strok haba.

Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) hanya menangguhan aktiviti itu untuk sementara hingga keadaan cuaca benar-benar selamat untuk murid dan pelajar menjalankan program di luar kelas.

“Biarpun ada negeri yang cuaca kini semakin baik, namun KPM tetap berterusan menjalankan pemantauan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

“Sebenarnya, kita juga sudah mengadakan sesi libat urus bersama seluruh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan meminta dan memberikan panduan kepada mereka serta menasihatkan supaya tidak menganjurkan program atau aktiviti di luar kelas ketika cuaca panas.

“Bagaimanapun, penangguhan itu bersifat sementara berdasarkan keadaan cuaca yang ada sesetengah negeri kini semakin baik.

“Jadi kita akan pantau dari semasa ke semasa dan sentiasa beri pedoman, garis panduan serta nasihat daripada kementerian berkaitan,” katanya selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dewan Dato Haji Ahmad Salleh, Kampung Permatang Keling, di Nobong Tebal, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kebimbangan segelintir ibu bapa susulan ada sekolah mengadakan aktiviti luar kelas terutama merentas desa walaupun KPM sudah mengeluarkan arahan dan pekeliling supaya menangguhkan semua program luar.

Ibu bapa terbabit meluahkan kebimbangan mereka di media sosial selepas mendapat surat kebenaran yang perlu ditandatangani bagi membenarkan anak mereka mengikuti aktiviti berkenaan.

Mengulas lanjut, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, sehingga kini tiada sekolah ditutup memandangkan keadaan masih selamat dan kesiapsiagaan KPM berdepan isu terbabit.

“Kita sentiasa berjaga-jaga dalam hal ini, sebab itu kita minta tangguhkan sebentar sehingga cuaca kembali sedia kala dan pelajar kita boleh mengikuti pembelajaran di luar kelas dengan lebih selamat,” katanya, lapor Berita Harian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *