LAPORAN penuh siasatan dalaman melibatkan seorang pelatih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang didakwa dibuli pelatih senior di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang yang tular baru-baru ini dijangka akan diperoleh dalam masa terdekat.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata siasatan dalaman itu mengambil kira pelbagai aspek termasuk semua maklumat yang dilapor atau diterima daripada pihak media atau orang perseorangan.
“Kementerian Pertahanan mengambil serius kejadian buli yang berlaku melibatkan pelatih TUDM yang dilaporkan berlaku baru-baru ini dan siasatan sedang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan di peringkat kementerian juga, siasatan dalaman turut dilakukan.
“Saya yakin dalam masa terdekat ini, laporan itu akan diterima dan dibentangkan pada mesyuarat pasca-Kabinet kementerian akan datang. Jika ada kelemahan, kita akan perbaiki dan beri kerjasama kepada semua pihak termasuk PDRM,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Melaka hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai luahan seorang wanita mendakwa adik lelakinya dibuli di pusat latihan tentera udara dan wanita itu turut berkongsi gambar beberapa anggota tentera berpangkat koperal yang didakwa membuli adiknya ketika menjalani latihan di pusat itu.
Pada 3 Mei lepas, media juga melaporkan polis mengesahkan empat lagi pelatih kursus Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendakwa dipukul dalam kejadian buli di Pangkalan Udara Kuantan pada 12 April lepas.
Dalam perkembangan lain, Adly berkata latihan ketenteraan menjelang fenomena El Nino yang diramal berlaku pada Jun akan tetap diteruskan namun ia bergantung kepada situasi semasa.
“Latihan (ketenteraan) akan diterus dan dipertingkat seperti ketika tempoh penularan COVID-19 walaupun terdapat beberapa kekangan. Latihan ATM meliputi pelbagai aspek seperti dua hala dan pelbagai hala yang turut melibatkan negara jiran.
“Semua perkara akan diambil kira bagi memastikan latihan kita tidak terganggu,” katanya.
Leave a Reply