Razali Idris

Kami tak cadang bawa usul undi tak percaya-Razali Idris

KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) , Datu Razali Idris berkata, ahli Parlimen Bersatu tidak bercadang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap kerajaan perpaduan pada sidang Dewan Rakyat bulan ini.

Jeliau beliau, tiada perbincangan mengenainya di peringkat parti setakat ini berkaitan angka yang diperlukan untuk menjatuhkan kerajaan.

Razali juga menafikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin pernah membuat kenyataan mempunyai majoriti mencukupi selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar mana-mana pihak mendakwa mempunyai sokongan mencukupi untuk membawa usul itu di Dewan Rakyat.

“Kenapa Anwar perlu memikirkan khabar angin atau gosip kecil di luar gelanggang. Sepatutnya dia tidak perlu fikir berapa angka yang pihak sebelah sana ada, sebab kerajaan dia sudah cukup kukuh, iaitu 148 kerusi.

“Sangat sukar untuk pembangkang mengatasi jumlah itu, ia bukanlah perkara mudah. Kecuali ketua pembangkang sendiri yang maklumkan kita ada angka mencukupi, barulah Anwar boleh cabar.

“Tapi isu angka mencukupi ini hanya cakap-cakap di kedai kopi, yang bercakap itu pun bukanlah tokoh, pimpinan tinggi atau ketua parti, sebaliknya hanyalah orang biasa,” katanya menurut Berita Harian.

Razali berkata, Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) boleh membuat undi tidak percaya tanpa mencabar mana-mana pihak, jika masih sangsi dengan sokongan dimilikinya.

“Kalau dia takut dengan bayang-bayang sendiri, dia sendiri boleh buat undi tidak percaya, setiap kali Parlimen bersidang, dia buat undi tidak percaya kepada perdana menteri kerana Anwar nampak masih macam pembangkang dan bukannya kerajaan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *