Jangan berpolitik : Zahid nasihatlah dulu ‘pemimpin kanan itu’

PENULIS ‘kagum’ apabila Ahmad Zahid Hamidi berkata, masyarakat tidak seharusnya berpolitik sepanjang masa sebaliknya ‘politicking’ hanya boleh dilakukan apabila tibanya pilihan raya supaya tumpuan boleh diberikan kepada usaha membangunkan negara.

Beliau yang menjadi Timbalan Perdana Menteri setelah BN bergabung dalam Kerajaan Perpaduan selepas hanya menang 30 kerusi Parlimen dalam PRU-15 berkata, ‘’Kita berasakan dengan suara dua pertiga majoriti yang di Dewan Rakyat, inilah pertama kalinya selepas PRU-15, sebuah kerajaan ada majoriti dua petiga majoriti.’’

Dari segi majoriti dua pertiga itu, penulis tidak mempersoalkannya maklumlah sebab ada 148 ahli Parlimen bersama kerajaan sekarang biarpun keputusan PRU-15 menunjukkan tidak ada satupun parti menang majoriti mudah. Lebih menarik, UMNO pun sudah bersahabat baik dengan DAP.

Cuma penulis ‘gayat sikit’ bila nasihat masyarakat tidak seharusnya berpolitik sepanjang masa sebaliknya hanya berpolitik ketika tiba pilihan raya.

Sebenarnya, masyarakat tidak ada masalah dan tidak berpolitik sepanjang masa, yang berpolitik sepanjang masa ialah orang politik hinggakan ketika suasana Aidilfitripun buat ‘himpunan politik’ atas nama ‘Himpunan Madani’ di Kedah.

Tenang-tenang…Zahid fikirkan balik ketika itu siapa yang berpolitik? Adakah masyarakat atau ahli politik? Siapa yang cakap kalau PH-BN menang di Kedah, kerajaan pusat akan korek laut untuk membolehkan feri ke Langkawi 15 kali sehari sebab kata ‘PEMIMPIN KANAN KERAJAAN’ yang menang majoriti kurang tak sampai 400 undi di sebuah kerusi Parlimen itu, kerajaan Kedah gagal atasi masalah berkenaan.

Sehingga ‘PEMIMPIN KANAN ITU’ lupa bahawa meningkatkan kekerapan perjalanan feri bukan bidang kuasa kerajaan negeri tetapi kerajaan pusat.

Mungkin Zahid juga boleh fikirkan siapakah PEMIMPIN KANAN KERAJAAN yang ‘merayu-rayu’ supaya rakyat Kelantan beri peluang kepada PH-BN perintah negeri itu bagi membolehkan masalah air di Negeri Cik Siti Wan Kembang tersebut diatasi.

Soalnya kenapa hanya mahu tunggu PH-BN menang di Kelantan baru mahu selesaikan masalah berkenaan? Bukankah Zahid menyeru rakyat supaya tidak berpolitiking? Tidakkah apabila berjanji mahu menyelesaikan masalah air hanya selepas PH-BN menang di Kelantan maknanya berpolitik ketika bukan masa pilihan raya?

Kenapa pula di Sabah pada 4 Mei lalu, ada ‘seorang PEMIMPIN KANAN KERAJAAN ’ berkata, di Kota Kinabalu beliau akan memohon peruntukan khas untuk menyelesaikan isu bekalan air yang sudah berlarutan sejak sekian lama di Sabah.

Kata pemimpin itu, peruntukan khas tersebut sangat diperlukan untuk memastikan semua rakyat yang tinggal di Sabah khususnya di kawasan luar bandar mendapat bekalan air bersih.

“Saya tahu bekalan air di Sabah sangat mengecewakan, banyak rungutan yang kita dengar khususnya ketika musim perayaan ini. Orang mahu beraya pun susah kerana tiada air,” kata pemimpin tersebut.

Tetapi bila masalah yang sama berlaku di Kelantan dan Kedah, ia dianggap kegagalan kerajaan negeri yang memerintah? Kenapa tidak ada peruntukan khas dipohon bagi membantu kedua-dua negeri itu? Adakah kerana ia negeri di bawah pembangkang? Bukankah sebagai kerajaan pusat layanan sama rata harus diberikan kepada setiap negeri supaya ‘TIDAK BERPOLITIK SEPANJANG MASA’ seperti mana nasihat Zahid.

Penulis sekadar bertanya kerana sudah muak melihat retorik politik yang berlaku dalam kerajaan sehingga dianggap cakap lain buat lain’.

Kalau Zahid tidak bersetuju dengan pandangan itu, Zahid nasihatlah dulu PEMIMPIN KANAN KERAJAAN’ tersebut supaya janganlah berpolitik ketika bukan musim pilihan raya. Betul tak?


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *