Dua remaja 17 tahun maut motosikal bertembung

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

DUA remaja maut selepas motosikal mereka terlibat kemalangan dengan sebuah motosikal lain di Jalan Felda Air Tawar 4, Kota Tinggi pukul 8.40 malam tadi .

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, insiden melibatkan dua mangsa masing-masing berusia 17 tahun itu melibatkan motosikal Yamaha Y15 ZR dinaiki mangsa dengan satu lagi motosikal jenis sama.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati motosikal dua remaja terbabit datang dari arah Felda Air Tawar 4 menghala ke Felda Air Tawar 5.

“Semasa sampai di jalan utama Felda Air Tawar 4, motosikal dua mangsa tersebut hilang kawalan dan bertembung dengan satu lagi motosikal Y15 ZR tersebut secara berdepan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibat kemalangan tersebut katanya, kedua-dua remaja tersebut cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut Hussin, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui kejadian sebenar.

“Orang awam dinasihatkan supaya lebih peka dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi memastikan keselamatan bersama,” ujar beliau.

Terdahulu, tular perkongsian dalam Facebook Orang Kota Tinggi berhubung kemalangan maut di jalan masuk Felda Air Tawar 4 itu yang membabitkan dua penunggang motosikal.

Dalam hantaran itu mendakwa kawasan kemalangan itu sudah beberapa hari bergelap akibat lampu jalan yang tidak hidup.

“Semoga dipermudahkan segala urusan dan salam takziah buat keluarga arwah,” tulisnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *