SEJAK pentadbiran Barisan Nasional (BN) di Selangor tumbang ke tangan Pakatan Rakyat (PR) pada 2008, usaha untuk kembali merampas negeri itu menerusi beberapa siri pilihan raya terus gagal sehingga ke hari ini.
Selangor yang memiliki 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu terus menjadi sasaran utama semua parti politik ekoran keupayaannya untuk menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi di Malaysia, sekali gus merupakan sebagai negeri terkaya di negara ini.
Pada 2008, PR menerusi PKR, DAP dan Pas berjaya mengambil alih pentadbiran negeri selepas memperoleh 36 kerusi DUN, sebelum angka itu meningkat kepada 44 kerusi pada 2013.
Pada 2018 PR dijenamakan semula menjadi Pakatan Harapan (PH) dengan Pas meninggalkan gabungan parti itu dan digantikan dengan Parti Amanah Negara (Amanah).
PH mencatatkan jumlah kerusi DUN tertinggi dengan meraih 51 kerusi diikuti BN yang memiliki empat kerusi manakala Pas hanya meraih satu kerusi disebabkan gelombang anti Datuk Seri Najib Razak akibat skandal 1MDB terlalu kuat pada ketika itu.
Bagaimanapun, selepas berlaku ketidaktentuan politik pada 2020 yang menyaksikan kerajaan Persekutuan ditadbir oleh PH tumbang, berlaku juga perubahan angka kerusi DUN di Selangor yang mana PH kini memiliki 41 kerusi, Perikatan Nasional (tujuh), BN (lima), manakala Pejuang mempunyai tiga kerusi.
Ramai pemerhati politik menganggap Selangor sebagai ‘negeri selamat’ PH untuk kekal berkuasa selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Akan tetapi, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Ahmad Atory Hussain berkata, tanggapan itu mungkin lagi tidak tepat terutama selepas melihat apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut beliau, usaha Perikatan Nasional (PN) untuk menawan Selangor dengan mensasarkan 33 daripada 56 kerusi DUN tidak dianggap sebagai misi mustahil, kerana keadaan tidak lagi sama seperti sebelum PRU15.
Katanya, ini kerana penentu sama ada PN mampu membentuk kerajaan negeri di Selangor bukan sahaja akan ditentukan oleh pengundi luar bandar, yang merangkumi kira-kira 20 DUN, tetapi lebih kepada trend pengundian Melayu yang tidak menentu.
“Pengundi Melayu di Selangor tidak boleh disamakan dengan trend pengundian Melayu di Pantai Timur atau Cina di Pulau Pinang yang mana mereka lebih konsisten mengundi satu parti,” katanya kepada MalaysiaNow.
“Contohnya, kita boleh jangka Melayu di Pantai Timur akan mengundi PAS manakala Cina di Pulau Pinang akan pilih DAP.”
“Tetapi Melayu di Selangor lebih fleksibel, menjadikan trend undian mereka sukar diramal yang mana situasi ini tidak semestinya akan memanfaatkan PH di negeri Selangor.”
Kerusi majoriti Melayu beralih ke PN
Menurut Atory, kejayaan PN menawan kerusi Parlimen di Selangor seperti Tanjung Karang dan Sungai Besar yang merupakan kubu BN serta beberapa kawasan dimiliki PH iaitu Hulu Selangor, Kapar dan Kuala Langat membuktikan penerimaan terhadap gabungan itu khususnya Pas tidak terhad di kawasan Pantai Timur sahaja.
Untuk maklumat, semua Parlimen di Selangor yang ditawan gabungan baru itu pada PRU15 itu mempunyai 15 DUN, dan angka ini belum dicampur dengan yang masih dipegang wakil rakyat PN sedia ada seperti Bukit Antarabangsa, Gombak Setia, Selat Klang, dan Dengkil.
“Ini juga belum diambil kira dengan perkembangan situasi semasa seperti kerjasama antara PH-BN, kemelut dalaman UMNO dan beberapa isu lain termasuk lantikan politik dalam jabatan dan agensi kerajaan, langkah yang ditentang oleh PH sendiri sebelum mereka menjadi kerajaan.
“Semua perkara ini akan memainkan peranan.
“Jika PH tidak berhati-hati, jangan terkejut sekiranya momentum PN meluas ke Selangor dan tidak mustahil mereka akan bentuk kerajaan,” tambah penganalisis veteran itu.
Tinjauan MalaysiaNow di beberapa kawasan luar bandar seperti di DUN Dusun Tua yang memiliki lebih 60% pengundi Melayu, menyaksikan ramai yang kurang yakin untuk mengundi parti mana pada PRN akan datang.
Penduduk di Kampung Padang, Mohd. Akhir Dutan yang sudah menetap di kawasan itu selama 63 tahun, menceritakan bahawa DUN di situ sejak 1974 hingga 2013 menjadi kawasan kubu kuat UMNO, tetapi ia mula beralih kepada Pas sebelum jatuh ke tangan DAP pada 2018.
Katanya, ramai dalam kalangan penduduk di situ dianggap sebagai penyokong UMNO, namun selepas parti Melayu itu kini bekerjasama dengan DAP, mereka ‘berat hati’ untuk pilih wakil rakyat daripada parti tersebut.
“Saya pun tidak hairan sekiranya pengundi di sini enggan keluar mengundi atau bakal memilih parti selain UMNO seperti Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” katanya kepada MalaysiaNow.
“Keadaan politik sekarang pun sangat mengelirukan. Dulu (UMNO) cakap lain, sekarang jadi lain.
“Siapa sangka mereka akan kerjasama dengan PH, berkawan dengan parti yang sekian lama menjadi musuh mereka.”
Sementara itu, penduduk di kerusi Parlimen Tanjung Karang, Farahin Adha mengakui pengaruh Tan Sri Noh Omar yang digugurkan oleh BN pada PRU15 masih kuat di kawasan itu.
Katanya, kemungkinan peralihan undi yang berlaku pada PRU15 yang menyaksikan Parlimen Tanjung Karang beralih ke tangan PN juga mampu berulang pada dua DUN di bawahnya sekiranya desas-desus Noh menyertai atau membantu PN menjadi realiti.
“Pengaruh Noh lebih kuat berbanding pengaruh BN di kawasan ini.
“Tetapi tengok juga keadaan, kerana kami akan perhatikan pelbagai pekara seperti isu kos sara hidup,” katanya yang juga seorang peniaga.
Leave a Reply