Oleh RIZQI ZABIDI
MUNGKINKAH ada pihak yang ‘gentar’ dengan sambutan pengunjung terhadap Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS di Kompleks Pas Kedah semalam hingga ada yang melakukan sabotaj terhadap siaran langsung di media sosial?
Perkara itu dibangkitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) di laman Facebooknya semalam.
Muhammad Sanusi mendakwa, siaran langsung majlis itu tidak dapat dibuat kerana ada pihak yang ‘buat kerja’.
“Setakat pukul 12 tadi (semalam) dianggarkan 50,000 tetamu hadir hingga sesak di luar dan dalam dewan, ‘meghemut’.
“Cuma sayang, siaran langsung majlis itu tidak dapat disiarkan. Awal ‘depa’ buat kerja,” katanya.
Terdahulu di laman Facebook sama, siaran langsung majlis tersebut hanya tersiar selama kira-kira 30 minit memaparkan kehadiran tetamu, dan berakhir sebaik Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden membuat pengumuman menjemput tetamu menikmati hidangan.
Dalam ucapan ringkas tersebut, Afnan turut menyatakan bahawa kalangan tetamu akan mendengar ucapan beberapa pimpinan selepas menikmati jamuan disediakan.
Sementara itu dalam status sama, Muhammad Sanusi turut memaparkan klip video memaparkan kalangan pemimpin PN mengangkat lima jari mereka kepada kalangan jurugambar.
Beliau kemudiannya berkias mengenai maksud lima jari tersebut.
“Ada apa dengan lima? 50,000 tetamu yang hadirkah? Takkan ‘kot’,” katanya.
Leave a Reply