”Saya tak pernah mimpi setiap minggu..yang hang mengigau pasai apa” – Hamzah

Oleh BADLISHAH MAT

SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan beliau tidak pernah memiliki hasrat seperti dinyatakan Perdana Menteri bahawa pembangkang yang didakwa memiliki akuan sumpah berkanun (SD) cukup untuk membentuk kerajaan.

Hamzah yang juga Ketua Pembangkang berkata, adalah lebih penting untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tumpuan menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri berbanding menyatakan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan ketika sudah menjadi kerajaan.

Tambahnya, berkemungkinan Anwar sebenarnya kini yang mengigau kerana takut dengan kedudukannya yang mungkin akan diambil alih.

“Semalam saya dengar ada seorang bagitau bahawa saya mimpi tiap-tiap minggu, saya nak maklum kepada beliau saya tak pernah mimpi pun tiap-tiap minggu. Saya nak bagitau yang hang mengigau tu pasai apa, saya tak cakap apa pun.

“Sejak dia jadi Perdana Menteri, saya cakap hanya dalam Parlimen bagitau dia hang la ni bukan lagi ketua pembangkang, yang jadi ketua pembangkang saya dan yang nak buat cerita bukan-bukan pasai apa,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Pas Pusat di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar hari ini.

Anwar menggesa pembangkang supaya membawa akuan SD menyatakan sokongan Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu selepas terdapat cakap-cakap ada gerakan dicetus PN yang didakwa sudah cukup menumbangkan Kerajaan Perpaduan.

Sebelum menyifatkan Hamzah sebagai ‘mengigau’, Anwar terlebih dahulu melabel Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengigau dan tidak mengendahkan ramalan Ahli Parlimen Marang itu bahawa kerajaan pimpinannya akan tumbang tidak lama lagi.

Menjelas lanjut, Hamzah berkata, disebabkan Anwar yang memintanya untuk bermimpi dan mengigau membentuk kerajaan, maka beliau mengajak semua pihak untuk berdoa agar perkara itu menjadi kenyataan.

“Saya selama ini rilek sahaja, tak pikiaq apa pun tapi la ni dia suruh saya mimpi, cita-cita. Kita semua berdoa semoga apa yang dia katakan bahawa kita ada nombor, angka atau jumlah itu akan tercapai untuk kita ambil alih (kerajaan) daripada dia, padan muka dia.

“Kita doa lah sama-sama perjuangan kita dirahmati Allah kerana kita tahu hari ini rakyat tertunggu-tunggu masa depan lebih baik. Kalau dulu depa kata kerajaan yang kurang baik, hari ini nak maklum kerajaan yang ada lebih teruk daripada mana-mana kerajaan yang sebelum ini,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *