Oleh BADLISHAH MAT
PENGANJURAN Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas di Alor Setar, hari ini sama sekali tidak menggunakan dana kerajaan negeri, malah bukan untuk menyaingi Rumah Terbuka Malaysia Madani yang diadakan Kerajaan Persekutuan di Kedah, minggu lalu.
Menurut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, rumah terbuka Aidilfitri yang diadakan serentak oleh Pas pusat dan negeri itu berbeza kerana dianjurkan sepenuhnya oleh parti politik.
“Saya nampak sambutan kepada rumah terbuka anjuran parti-parti politik sangat meriah di Kedah. Mungkin kerana menjelang pilihan raya. Menu pun sedap-sedap. Tapi menu kita dibuat oleh kawasan-kawasan (Pas) dan negeri-negeri, tak pakai kementerian-kementerian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka tersebut yang turut dihadiri Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan kepimpinan-kepimpinan lain.
Terdahulu, Muhammad Sanusi ketika menyampaikan ucapan berkata, majlis rumah terbuka Pas itu juga dilakukan di premis parti yang membantu mereka lebih berjimat berbanding diadakan di lokasi lain.
“Saya nak maklum sehingga ke peringkat majlis sambutan raya pun kita cukup cermat untuk guna dana kerajaan. Rumah terbuka Menteri Besar Kedah buat atas nama kerajaan negeri 100 peratus, sepatah pun tidak ada perkataan untuk undi Perikatan Nasional (PN),” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN mengajak ahli gabungan itu untuk mengekalkan istiqamah berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Marilah kita bekerja hanya 60 hari lagi nak hadapi PRN. Apa yang kita lakukan dalam kerajaan negeri setakat ini adalah paling baik yang kita mampu buat. Jom kita gandakan apa yang kita sudah lakukan.
“Kita bertanding semua kerusi DUN Kedah, saya percaya paling banyak Pakatan Harapan (PH) boleh menang pun tiga kerusi. Kalau boleh nak ambil semua tapi depa kata taruh beda (simpan) untuk berubat sama,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Perpaduan sudah menampakkan tanda-tanda ketidak sepakatan biarpun baru lima bulan mentadbir.
Sementara itu , beliau memberitahu telah menyerahkan wang kepada peguamnya untuk membayar saman fitnah terhadap bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar minggu lalu.
“Peguam saya sedang urus dengan peguam dia. Itu saya kata hal ini peguam dengan peguam sebab kita dah lantik peguam masing-masing. Tak payah guna Facebook, TikTok apa semua tu. Tak ada isu bankrap tak bayar, semua diurus peguam. Dia nak tumpang populariti saya. Dia telah tenggelam, kalau 31,000 (majoriti undi kalah) apa jalan lagi nak naikkan nama dia balik.
“Saya dengar dia nak bertanding di Derga atau Pengkalan Kundur. Jadi siapa yang tengah top sekarang ni, dia tumpang orang itulah. Tak dak kes pun dia cerita kes supaya nama dia boleh naik. Itu politik Mahfuz, sejak muda sampai tua, Kita kenal dia,” katanya.
Leave a Reply