SEORANG remaja lelaki maut, manakala enam lagi cedera selepas motosikal yang dinaiki terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Utara- Selatan arah utara di Seremban pada 2.40 pagi tadi.
Ketua Polis Seremban, Nanda Maarof, berkata berkata kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Yamaha 135 LC milik remaja berusia 19 tahun tersebut hilang kawalan lalu terbabas di lorong tengah lebuh raya itu.
Katanya, ia menyebabkan enam penunggang motosikal lain berusia antara 17 hingga 21 tahun termasuk seorang wanita berusia 21 tahun, yang cuba mengelak berlanggar sesama sendiri.
“Akibat pelanggaran, remaja itu yang dalam perjalanan dari Senawang ke Ampang, Selangor cedera parah di hampir keseluruhan bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata dua lagi mangsa lelaki masing-masing berumur 21 tahun dan 18 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, tangan dan kaki, manakala empat lagi luka ringan di tangan dan kaki.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk dibedah siasat, manakala mereka yang cedera menerima rawatan di zon merah dan zon kuning hospital berkenaan.
Nanda berkata mana-mana individu yang menyaksikan kemalangan atau mempunyai rakaman video berkaitan kes itu diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Leave a Reply