Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
FORMULA baharu pertukaran syif akan diguna pakai bagi memastikan semua kaunter imigresen di pintu keluar masuk di Tambak Johor dan SecondLink dibuka pada waktu puncak.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen (JIM), Ruslin Jusoh berkata, pelaksanaan formula baharu itu amat penting dalam memastikan tiada kesesakan pada waktu puncak kerana tiada kakitangan di kaunter akibat pertukaran syif pekerja.
“Isu berbangkit di dua pintu masuk laluan darat membabitkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Tambak Johor dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Gelang Patah, adalah isu pertukaran syif kakitangan imigresen pada 7 pagi.
“Waktu puncak di dua pintu masuk laluan darat itu bermula 5 hingga 8 pagi dan pertukaran syif pada 7 pagi mampu merencatkan operasi kaunter, sekali gus menyebabkan kesesakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan dan meninjau operasi kaunter JIM di BSI, Johor Bahru pada pagi tadi.
Sehubunga itu katanya, JIM sedang meneliti formula baharu pertukaran syif 7 pagi termasuk memperkenalkan formula baharu syif ditukar di luar waktu puncak.
“Insya Allah, formula baharu ini akan diumumkan minggu depan,” katanya dan menambah, isu kesesakan itu dibangkitkan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi menerusi beberapa tinjauan bersama JIM minggu ini.
Sementara itu, Ruslin berkata, CIQ BSI kekurangan hampir 300 kakitangan bagi membolehkan JIM melaksanakan pembukaan semua 284 kaunter secara maksimum pada waktu puncak.
Ketika ini katanya, CIQ BSI mempunyai 1,074 kakitangan imigresen berbanding 1,347 orang yang diperlukan.
“JIM akan menempatkan 100 lagi kakitangan baharu di CIQ BSI akhir bulan ini, selepas 231 rekrut tamat latihan pada 20 Mei ini,” ujarnya.
Leave a Reply