Polis selamatkan pembantu rumah didera pasangan suami isteri

POLIS menyelamatkan seorang wanita warga asing yang disyaki menjadi mangsa penderaan pasangan suami isteri di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur  minggu lalu.

Mangsa berusia 39 tahun itu diselamatkan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, selepas menerima maklumat daripada jiran suspek.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata jiran mangsa memaklumkan kepada polis pada 23 April lalu, selepas mendakwa pasangan berkenaan mendera pembantu rumah mereka.

“Siasatan polis mendapati mangsa mengalami kecederaan serius melecur hampir seluruh badan dan lebam pada kedua-dua belah mata dan muka.

Mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi mendapatkan rawatan dan ditempatkan di rumah perlindungan,” katanya lapor Berita Harian.

Katanya, mangsa menjadi pembantu rumah pasangan itu selama hampir setahun setengah dan mendakwa kerap dipukul, ditampar serta pernah dicederakan di tangan dengan seterika.

Amihizam berkata, polis turut merampas barang kes yang dipercayai digunakan suspek untuk mencederakan mangsa untuk membantu siasatan.

“Suspek akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur esok mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *